Friday, July 1, 2011

Dua Kalimah Syahadat - Bahagian 1

Blue Lagoon
بسم الله الرحمن الرحيم         

Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam ke atas Baginda Muhammad Sallallahualaihi wasallam, keluarga baginda serta sahabat baginda. Amma Ba'du.

Saudara-saudaraku sekalian.

Islam ertinya berserah diri kepada Allah Azza-wajalla dengan tauhid, tunduk kepadaNya dengan ketaatan dan berlepas diri dari syirik dan melakukan syirik. Rukun Islam ada lima, nabi s.a.w bersabda; “ Islam itu didirikan  di atas lima perkara, iaitu bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah kecuali Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah, menunaikan solat, membayar zakat, melaksanakan haji dan berpuasa di Bulan Ramadhan”. (Muttafaq Alaihi).

Pada kesempatan ini, Kami akan membincangkan mengenai kalimah syahadat  iaitu لا إله إلا الله (la ila ha illallah) yang bermaksud Tiada Tuhan yang Disembah Melainkan Allah dan di bahagian seterusnya kami akan membicarakan mengenai kalimah Nabi Muhammad Pesuruh Allah ,insyaalah.

Dua Kalimah Syahadat, “ لا إله إلا الله محمد رسول الله” adalah kalimah yang tidak asing bagi seorang Muslim. Kalimah syahadat ini sering diucapkan oleh umat Islam dalam pelbagai keadaan baik semasa solat, azan, bagi orang melayu ketika marah ataupun terkejut ataupun bagi didengarkan kepada orang yang hampir menemui tuhannya. Kita menghafal kalimat syahadah dan dapat menyebutnya dengan fasih. Namun, demikian sejauh manakah makna kalimat ini difahami dan diamalkan dalam kehidupan sehari-hari kaum Islam? Kalimat syahadah merupakan asas utama dan landasan penting bagi rukun Islam. Tanpa syahadah, rukun Islam lainnya akan runtuh. Begitu juga dengan rukun iman. Tegaknya syahadah dalam kehidupan individu akan menegakkan ibadah dan cara hidup (amalan) dalam hidup kita. Tegaknya Islam mesti didahului oleh tegaknya rukun Islam; dan tegaknya rukun Islam mesti didahului oleh tegaknya syahadah.

Gelagat umat Islam yang terpengaruh dengan budaya jahiliyah atau cara hidup Barat, memberi gambaran bahawa syahadah tidak cukup memberi pengaruh. Terbukti tidak sedikit dari umat Islam yang masih melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah dan meninggalkan perintah-Nya, memberi kesetiaan bukan kepada kaum muslimin, atau tidak mensyukuri sesuatu yang diberikan kepada mereka. Itu adalah contoh dari wujud seseorang yang tidak memahami syahadah yang dibacanya dan tidak mengerti makna yang sebenarnya dari syahadah.

Kalimah لا إله إلا الله Mengandungi dua rukun: Pertama   لا إله (La ilaaha) iaitu penafian segala sesuatu yang disembah dengan sebenarnya selain Allah s.w.t dan kedua  إلا الله  (illallah); penetapan bahawa Allah yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya.

Di zaman Nabi saw., kalangan masyarakat Arab memahami betul makna syahadah ini. Terbukti dalam suatu peristiwa dimana Nabi saw. mengumpulkan para pemimpin Quraisy dari kalangan Bani Hasyim, Nabi saw. bersabda, “Wahai saudara-saudara, mahukah kalian aku beri satu kalimat, dimana dengan kalimat itu kalian akan dapat menguasai seluruh jazirah (semenanjung) Arab?”. Kemudian Abu Jahal menjawab, “Jangankan satu kalimat, sepuluh kalimat berikan kepadaku.” Kemudian Nabi saw. bersabda, “Ucapkanlah laa ilaha illa Allah dan Muhammad Rasulullah.” Abu Jahal pun menjawab, “Kalau itu yang engkau minta, bererti engkau mengumandangkan peperangan dengan semua orang Arab dan bukan Arab.” Penolakan Abu Jahal kepada kalimat ini bukan karena dia tidak faham akan makna dari kalimat itu. Justru sebaliknya. Dia tidak mahu menerima sikap yang mesti tunduk, taat, dan patuh kepada Allah swt. saja Dia sadar betul jika ia bersikap seperti itu, maka semua orang akan tidak tunduk lagi kepadanya. Abu Jahal ingin mendapatkan kesetiaan dari kaum dan bangsanya. Penerimaan syahadah bermakna menerima semua aturan dan segala akibatnya. Penerimaan inilah yang sukar bagi kaum jahiliyah untuk mengamalkan syahadah. Sebenarnya, apabila mereka memahami bahwa ketaatan kepada Allah itu juga akan menambah kekuatan bagi diri mereka. Mereka yang beriman semakin dihormati dan semakin dihargai. Mereka yang memiliki kemampuan dan ilmu akan mendapatkan kedudukan yang sama apabila ia sebagai muslim (Abu Jahal adalah tokoh di kalangan Arab jahiliyah dan ia memiliki banyak potensi, diantaranya ia sebagai Abu Amr (ahli hukum). Setiap individu yang bersyahadah, maka ia menjadi Khalifah Allah di Dunia (khalifatullah fil Ardhi).

Kalimat syahadah mesti difahami dengan benar kerana di dalamnya terdapat makna yang sangat tinggi. Dengan syahadah, kehidupan kita akan dijamin bahagia di dunia ataupun di akhirat. Syahadat sebagai kunci kehidupan dan tiang agama Islam. Oleh kerana itu, marilah kita bersama memahami dua kalimah syahadat ini.


Abu Iemranz
12 Rabiul Akhir 1432