Tuesday, June 28, 2011

Kalimah Syahadat - Bahagian 2

بسم الله الرحمن الرحيم                             
Bendang Rawa Di Waktu Dhuha

Dalam Bahagian satu kita telah berbincang mengenai kalimah syahadat yang pertama iaitu LAILAHA ILLALLAH dan dibahagian ini kita akan cuba membincangkan lafaz Syahadat yang kedua iaitu Kesaksian pada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pesuruh Allah. Amma ba'du.

 Bersaksi Bahawa Nabi Muhammad adalah Pesuruh Allah   محمد رسول الله”  
Lafaz kesaksian ini hendaklah dilakukan dengan beberapa syaratnya:-

Mentaati Nabi Muhammad s.a.w dalam setiap perkara yang beliau perintahkan.
Allah telah memerintahkan kita sebagai hambanya untuk mentaati Baginda s.a.w. dengan firmannya di dalam Al Quran  مَنْ يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ ۖ  , surah An-nisa 80 yang bermaksud  "Sesiapa yang mentaati rasul, sesungguhnya dia telah mentaati Allah". dan di dalam surah Ali Imran ayat 31 Allah berfirman قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ yang bermaksud "Jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintaimu". Masuknya seseorang kedalam syurga bergantung pada sejauh mana ketaatannya pada Rasulullah s.a.w , Baginda bersabda " Semua umatku akan masuk ke syurga kecuali mereka yang menolak". Para sahabat r.a. lalu bertanya: " Siapa yang menolak, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab " Siapa yang mentaati ku maka ia masuk syurga, dan siapa yang tidak mentaati ku, bererti beliau telah menolak" (H.R. Bukhari)
Siapa yang mencintai Nabi, maka ia harus mentaati Baginda, kerana ketaatan itu adalah lahir dari kecintaan, Siapa saja yang mengaku dirinya cinta kepada Nabi s.a.w. tetapi tidak mengikut sunnahnya dan mentaatinya maka bererti beliau telah berdusta dalam pengakuannya.

Mempercayai apa yang Baginda sampaikan.
Sesiapa yang mendustakan sesuatu yang shahih dari Nabi s.a.w. disebabkan oleh hawa nafsu atau keinginan terhadap sesuatu maka ia telah mendustakan Allah dan RasulNya kerana Nabi adalah orang yang terpelihara dari kesalahan dan bohong وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى  " Dia tidak berbicara dari hawa nafsunya" (An-Najm 3)

Menjauhi apa yang Baginda larang
Jauhilah dari dosa yang paling besar iaitu syirik kepada Allah, dosa-dosa besar, perbuatan maksiat, sampai ke dosa-dosa kecil dan sesuatu yang makruh. 

Tidak beribadah kepada Allah kecuali sesuai dengan apa yang Allah syariatkan melalui ucapan Nabi s.a.w.
Segala ibadah pada prinsipnya adalah dilarang  kecuali yang ada dasar perintahnya, maka tidak boleh beribadah kepada Allah kecuali dengan ajaran yang datang dari Rasulullah s.a.w. , Baginda bersabda " Siapa saja yang melaksanakan suatu amalan yang tidak ada dasar dari agama kita, maka amalan itu ditolak. (H.R. Muslim).

Sesungguhnya cinta kepada Rasulullah s.a.w. adalah wajib bahkan mencintai Allah dan Rasulnya mesti mengatasi kecintaan kita terhadap dua ibu bapa dan seluruh alam. Rasulullah SAW bersabda yang ertinya :
“Tidak beriman seseorang dari kamu, sehingga dia menjadikan Allah dan RasulNya paling dicintai dibandingkan selain daripadanya”
Orang yang mencintai Rasulullah adalah orang yang mengikuti dan menggunakan sunnah baginda, mengikuti perkataan dan perbuatan beliau, serta menjauhi larangan Baginda dan beradab kepada Baginda dikala senang ataupun susah. Tanda tanda kecintaan kita kepada Rasulullah antaranya:-
  • Perbanyakkan selawat kepada Baginda
  • rindu kepada Rasullullah
  • Selalu memuliakan Rasulullah
  • Membenci dan memusuhi apa yang yang Baginda benci dan musuhi
  • Mencintai orang yang dicintai Rasulullah
  • amalkan akhlak dan sunnah Rasulullah
Ya Allah. berikanlah selawat dan salam keatas Baginda s.a.w. keluarga, isteri-isteri, para sahabat dan orang-orang yang mengikuti Baginda dalam kebaikan sampai hari kiamat.

Wallah hu a'la waa'lam
Abu Iemran

Wednesday, June 22, 2011

Perkara-perkara yang membatalkan Keislaman

بسم الله الرحمن الرحيم                
Sunset - Blue Lagoon
Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi yang maha Agung kerana telah memberikan kami kekuatan dan kesempatan kepada Kami bagi menyiarkan dua siri dari Rukun Islam yang pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah ( لا إله إلا الله محمد رسول الله)  .  Saudara-saudaraku, kita memohon pada Allah Subhanahu WaTaala agar dijauhkan kita daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan keimanan kita kepada Allah, serta memohon agar keimanan kita kepadaNya bertambah . Amma Ba'du.

Perkara-perkara berikut adalah antara penyebab kepada pembatalan KeIslaman seseorang itu. 

 1- Melakukan perbuatan syirik dalam beribadah kepada Allah, berdasarkan firman  Allah  di dalam Al Quran :
(إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا ) Maksudnya:  Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain daripada (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar. (An Nisa: 48)

2- Sesiapa yang membenci sesuatu yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w walaupun dilakukannya, maka ia telah kafir; firman Allah: (  ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَرِهُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأَحْبَطَ أَعْمَالَهُمْ ) mafhumnya "Yang demikian itu adalah karena Sesungguhnya mereka benci kepada apa yang diturunkan Allah (Al Quran) lalu Allah menghapuskan (pahala-pahala) amal-amal mereka." (Muhammad:9)

3- Siapa saja yang memperolok-olokkan sesuatu dari agama Islam atau pahalanya, atau siksanya, maka sesungguhnya dia telah kafir sesuai dengan ijma ulama kerana Allah berfirman:
(65).( قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ )
(66) (لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ ۚ إِنْ نَعْفُ عَنْ طَائِفَةٍ مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ )
yang bermaksud : 
Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan jawab "Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja". Katakanlah: "Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?"
Tidak usah kamu minta maaf, karena kamu kafir sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat), niscaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa. (At Taubah 65-66)

4- Sihir, siapa saja yang melakukannya atau meredainya, maka ia kafir, kerana Allah berfirman  
(وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُر )  
Maksudnya " sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: "Sesungguhnya kami hanya cobaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir".(Al Baqarah 102)

5- Membantu dan menolong orang musyrik melawan kaum muslimin. Allah berfirman 
(وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ) 
Barangsiapa diantara kamu mengambil mereka (Yahudi dan Nasrani)  menjadi pemimpin, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. (Al-Maidah 51)

6- Sesiapa saja yang meyakini bahawa dengan mengambil agama selain agama Nabi Muhammad s.a.w , maka ia kafir. Firman Allah ; 
(وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ)
Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. ( Ali Imram 85)

7- Berpaling dari agama Allah, tidak mahu mempelajarinya dan tidak mahu juga mengamalkannya; Allah berfirman:
(وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ ذُكِّرَ بِآيَاتِ رَبِّهِ ثُمَّ أَعْرَضَ عَنْهَا ۚ إِنَّا مِنَ الْمُجْرِمِينَ مُنْتَقِمُونَ)
Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling daripadanya? Sesungguhnya Kami akan memberikan pembalasan kepada orang-orang yang berdosa.
(As Sajadah 22).

Saudara-saudaraku sekalian, Berdasarkan kepada ayat-ayat di atas yang kami utarakan, kita semua wajiblah menjaga aqidah kita agar tidak terkeluar dari ajaran Nabi Muhammad s.a.w. dan menjadi kafir sama ada kita sedar ataupun tidak. Semoga Allah memperkukuhkan iman kita dan meningkatkan iman kita. Hanya kepada Allah kita mengharap dan sesungguhnya Allah dan Rasulnya yang lebih mengetahui. Semoga Allah memberi hidayah dan taufik kepada semua kaum Muslimin.

Abu Iemran
30 JamadilAwal 1432 

Sunday, June 19, 2011

Pengertian Agama, Islam, Iman dan Ihsan


by Bendang Rawa on Friday, March 4, 2011 at 6:16am



Daripada Umar al-Khattab r.a, katanya: Sedang kami duduk-duduk bersama Rasulullah s.a.w, tiba-tiba muncul seorang lelaki, amat putih pakaiannya dan hitam rambutnya, tanpa kelihatan daripadanya kesan-kesan perjalanan (pengembaraan), dan tiada seorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga duduk mendekati Rasulullah, lalu dirapatkan lututnya kepada lutut baginda dan meletakkan kedua-dua tangannya ke atas paha Rasulullah seraya berkata: “Wahai Muhammad! Beritahu kepadaku  mengenai Islam.” Jawab baginda: “Islam itu engkau bersaksi tiada Tuhan selain Allah, dan bersaksi bahawa Muhammad itu utusan (pesuruh) Allah (kepada seluruh manusia), dan  mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengunjungi Baitullah untuk mengerjakan haji sekiranya berkuasa melakukannya.” Jawab lelaki tersebut: “Benar katamu itu.” 

Kata Umar r.a: Kami hairan akan lelaki itu, dia yang bertanya, lalu dia pula yang membenarkan jawapan baginda. Tambah lelaki itu, “Beritahuku, apakah Iman itu?” Sabda baginda, “Iman itu ialah kamu percaya dan beriman kepada Allah, kepada Malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-Nya, hari akhirat, qadar baik dan jahat itu daripada Allah.”

Dia bertanya tentang Ihsan pula, maka sabda Nabi: “Ihsan itu ialah kamu beribadat (menyembah Allah) seolah-olah kamu melihat-Nya sekiranya kamu tidak dapat melihat-Nya, maka (yakinlah) Allah tetap melihatmu.” Orang itu bertanya mengenai kiamat pula, maka sabda baginda: “Orang yang ditanya tidak lebih tahu dari orang yang bertanya.”  Orang itu mengalih pertanyaannya kepada tanda-tanda kiamat. Sabda Rasulullah s.a.w: “Tandanya ialah perempuan melahirkan tuannya sendiri (anak yang sanggup memperhambakan ibunya), kamu akan melihat orang-orang desa yang berkaki ayam, koyak rabak pakaiannya, dan pengembala kambing berlumba-lumba mendirikan bangunan.” 

Kata Umar: Kemudian lelaki itu pun berlalu. Setelah aku berdiam sebentar. Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: “Hai Umar! Tahukah kamu siapa lelaki yang bertanya tadi?” Jawabku, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda: “Itulah Jibril, dia datang mengajar agama kamu.” (Riwayat Muslim)


Kesimpulan

Agama terbentuk daripada tiga unsur, iaitu Iman, Islam dan Ihsan. Rukun Iman enam perkara, manakala Rukun Islam lima perkara. Kiamat itu pasti tiba. Tanda-tandanya sudah terang dan nyata.