Wednesday, February 22, 2012

Hadis Qudsi- Ikhlaskan Amalanmu

Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

Wahai Anak Adam
Wahai hamba kepada dinar dan dirham
Aku menjadikan kedua duanya bagimu supaya kamu
memperolehi makanan dan pakaian daripada rezekiKu agar
engkau bertasbih kepada Ku dan mensucikan Aku

Tetapi kemudiannya kamu mengambil kitabKu
dan kamu letakkannya di belakang kamu

Kamu mengambil dinar dan dirham dan
kamu junjung di atas kepalamu

Engkau memuliakan rumah rumahmu dan
kamu merendah rumah rumahKu

Bukanlah kamu itu orang baik baik dan orang merdeka
melainkan kamu itu hamba dunia

Sebenarnya penghimpunan seperti itu
(yang menghimpunkan harta di dalam dunia)
umpama kubur yang diwarnakan dengan warna putih
Zahirnya kelihatan indah tetapi didalamnya sangat mengerikan

Kamu juga berbuat baik terhadap manusia
serta mengasihi mereka dengan kata katamu yang manis
dan perbuatan kamu yang cantik, tetapi kamu menjauhi dengan hati,
hati kamu yang keras dan keadaan kamu yang keji

Wahai Anak Adam
ikhlaskanlah amalanmu
dan pintalah kepadaKu akan kuperkenankan
permintaanmu itu lebih banyak daripada
yang dipinta oleh orang yang meminta

(petikan Hadis Qudsi Kitab imam al Ghazali; al Mawa'iz Fil Ahadis al Qudsiah)





Friday, February 17, 2012

Hadis Qudsi - Allah Yang Maha Kaya

Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

Wahai Anak Adam;
Aku tidak menjadikan kamu sebagai tempat untuk Ku meminta sesuatu perkara supaya menjadi banyak perkara perkara yang sedikit. Bukan untuk meminta keamanan dari kamu daripada perkara yang liar. Bukan untuk memohon pertolongan daripadamu terhadap urusan Aku lemah untuk mengatasinya. Bukan untuk Aku mengambil manafaat dan sebagai penyelamat daripada kemudaratan. Bahkan Aku menjadikan kamu untuk menyembah Aku selama-lamanya dan supaya mensyukuri Ku sebanyak-banyaknya dan bertasbih kepada Ku pada waktu pagi dan petang.

Wahai sekalian manusia
seandainya kamu semua daripada yang paling awal dan yang penghabisan, sama ada manusia atau jin,kecil dan besar, merdeka dan hamba, saling tolong menolong untuk mentaati Ku, maka yang demikian itu, tidak menambahkan walau sebesar zarrah kebesaran kerajaan Ku.

Siapa yang berjihad,  jihad nya hanya untuk diri nya sendiri, sesungguhnya, Allah Maha Kaya daripada seluruh alam 

Wahai Anak Adam,
Kamu akan disakiti sebagaimana kamu menyakiti, Apa yang kamu lakukan, maka hal yang sama jugalah yang akan dilakukan terhadapmu.

(petikan Hadis Qudsi Kitab imam al Ghazali; al Mawa'iz Fil Ahadis al Qudsiah)



Friday, February 10, 2012

Hadis Qudsi - Segerakan Taubat

Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

Wahai Anak Adam
Janganlah kamu tergolong diantara mereka yang suka melengahkan taubat dan memanjangkan angan-angan
Janganlah kamu mengharapkan kebahagian akhirat tanpa beramal
Memperkatakan perkataan ahli ahli ibadah tetapi beramal dengan amalan munafik

Sekiranya diberi tidak pernah merasa cukup
Sekiranya tidak memperolehi sesuatu, tidak mahu bersabar
Menyeru kepada kebaikan tetapi tidak melakukan kebaikan
Mencegah kemungkaran tetapi masih bergelumang dengan nya
Mengasihi orang soleh, tetapi tidak mahu bersama mereka
Bercakap perkara yang tidak dibuat, buat apa yang tidak disuruh
Minta ditunaikan janji (janji-janji Allah) tetapi dia tidak menunaikan janji (hak-hak Allah)

Wahai Anak Adam
Setiap hari yang baru, bumi sentiasa menegur mu dengan kata-kata
Wahai Anak Adam, engkau berjalan dipermukaan ku dan setelah itu engkau akan disimpan di dalam perutku, engkau memakan sebanyak yang diinginkan ketika berada dipermukaan ku, kemudian  ulat akan memakan engkau  didalam perutku

Wahai Anak Adam
Setiap hari yang baru, bumi sentiasa menegur mu dengan kata-kata
Wahai Anak Adam, aku adalah rumah yang sengsara, aku adalah rumah yang bakal meninggalkan kamu keseorangan, aku adalah rumah yang gelap, aku ialah rumah bagi ular dan kala jengking.
Oleh itu, makmurkan (dengan amal soleh), dan janganlah engkau roboh daku.

(petikan Hadis Qudsi Kitab imam al Ghazali; al mawa'iz Fil Ahadis al Qudsiah)






Friday, February 3, 2012

Hadis Qudsi - Malu Allah Pada Hamba Nya

Berfirman Allah Taala yang bermaksud:

Barangsiapa yang seawal-awal lagi dalam keadaan 
dukacita terhadap dunia, tidak akan dia bertambah hampir kepada Allah melainkan semakin jauh, tidak akan bertambah didunia melainkan keletihan, tidak akan bertambah diakhirat melainkan kepayahan. Allah akan mencampakkan rasa dukacita yang berterusan, kesibukan, tiada kerehatan, kefakiran, tidak memperolehi kekayaan dan angan-angan yang memanjang kedalam hati nya.

Wahai Anak Adam: 

Setiap hari berkurangan umur mu sedangkan engkau tidak menyedarinya, setiap hari Aku memberi rezeki kepada mu tetapi engkau lupa untuk memuji Ku. Tidak memadai bagimu apa yang sedikit, tidak pula engkau merasa puas terhadap apa yang banyak.

Wahai Anak Adam;

Tidak ketinggalan satu hari pun melainkan datang daripada Ku rezki untukmu tetapi, pada malam harinya aku didatangi oleh malaikat membawa amalan kejahatan mu, engkau memakan rezeki Ku, kemudian engkau membalasnya dengan menderhaka kepadaKu, engkau memohon dariKu, lalu Aku perkenankan permohonan mu. Kebaikan dariKu sentiasa mengalir kepadamu, dan kejahatan darimu sampai kepada Ku.

Sesungguhnya, Aku adalah sebaik-baik Tuan kepada mu, dan engkau adalah sejahat-jahat hamba kepadaKu, engkau menanggalkan daripadaKu apa yang Aku berikan kepadamu, Aku tutup kejahatan demi kejahatan mu, Aku malu terhadapmu tapi engkau berasa tidak malu denganKu, engkau melupakan-Ku dan mengingati selain dariKu, engkau merasai takut pada manusia tetapi merasa aman terhadapKu, engkau merasa gentar dengan marahnya manusia tetapi engkau merasa aman terhadap murka Ku

(petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam Al-Ghazali; al-Mawa'iz Fil Ahadis al-Qudsiah)