Showing posts with label Hadis Qudsi. Show all posts
Showing posts with label Hadis Qudsi. Show all posts

Sunday, December 30, 2012

Hadis Qudsi -Beramal seperti yang disuruh

Berfirman Allah Taala yang bermaksud:

Wahai Anak Adam:
Beramal seperti yang Aku suruh dan tinggalkan seperti yang Aku larang, nescaya Aku akan menjadikan engkau hidup, dan tidak akan mati selama-lamanya. Aku hidup, dan tidak mati selama lamanya. Apabila Aku berkata, jadilah, maka akan terjadilah perkara tersebut.

Wahai Anak Adam:
Sekiranya perkataan mu baik, tetapi amalanmu keji maka engkaulah penghulu segala orang munafik. Sekiranya zahir mu baik, tetapi batin mu keji, maka engkau tergolong dalam golongan yang binasa. Mereka itu menipu Allah tetapi sebenarnya Allah yang menipu mereka. Tiada penipuan yang mereka rencanakan melainkan terhadap diri mereka sendiri, sedangkan mereka tidak menyedarinya.

Wahai Anak Adam:
Tidak akan masuk kedalam syurga melainkan mereka yang merendah diri terhadap kebesaran Ku, dan mengingati Ku setiap waktu, serta melawan nafsunya daripada ajakan syahwat, semata-mata keranaKu.

Sesungguhnya Aku pelindung orang dagang dan mententeramkan orang fakir, Aku memuliakan anak-anak yatim, Aku bagi mereka itu seorang bapa yang penyayang, Aku seperti suami, yang bertimbang rasa terhadap janda. Barangsiapa yang bersifat dengan sifat-sifat tersebut, maka jadilah Aku ini yang memperkenankan baginya, apabila dia berdoa sesuatu, nescaya Aku akan memperkenankannya, apabila dia meminta kepada Ku nescaya Aku akan memberikannya.

[Petikan Hadis Qudsi,kitab Imam al-Ghazali:al-Mawa’iz Fil Ahadis al-Qudsiah]

Friday, December 21, 2012

HADIS QUDSI - Allah hairan kepada mereka.

Berfirman Allah Taala yang bermaksud:
Wahai Anak Adam:
Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kematian tetapi masih bergembira.
Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap hari perhitungan tetapi masih mengumpul harta
Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kubur, tetapi masih tertawa.
Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap kehidupan di akhirat tetapi masih beristirehat.
Aku hairan kepada mereka yang yakin terhadap dunia dan kemusnahannya tetapi masih tenang dengannya.
Aku hairan kepada mereka yang alim pada lidahnya, tetapi jahil pada hatinya.
Aku hairan kepada mereka yang sibuk bersuci dengan air, tetapi hatinya tidak suci.
Aku hairan kepada mereka yang sibuk dengan aib orang lain, tetapi lupa terhadap dirinya sendiri.
Aku hairan kepada mereka yang mengetahui sesungguhnya Allah itu mengawasinya, tetapi masih boleh melakukan maksiat atau mengetahui sesungguhnya dia akan mati berseorangan, akan memasuki kubur berseorangan dan akan dihitung keseorangan tetapi masih jinak bersama manusia.
Ketahuilah, tiada tuhan yang sebenarnya melainkan Aku, dan sesungguhnya Muhammad adalah hamba dan utusan Ku.

(Petikan Hadis Qudsi : Kitab Imam Al Ghazali: al-Mawa'iz Fil Ahadis al-Qudsiah)


Thursday, December 20, 2012

Hadis Qudsi- Ibadah Bukanlah Satu Bebanan

Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

Wahai Anak Adam
Berqanaahlah, kamu akan kaya.
Tinggalkan hasad, kamu akan memperolehi kerehatan.
Tinggallah perkara-perkara yang haram, akan eloklah agama mu.

Barangsiapa yang meninggalkan perbuatan mengumpat, akan lahirlah kasih Ku kepadanya.
Barangsiapa yang berpisah dengan manusia, dia akan selamat daripada mereka.
Barangsiapa yang sedikit perkataannya, sempurnalah akalnya.
Barangsiapa yang redha dengan harta yang sedikit, sesungguhnya dia telah meletakkan kepercayaan kepada Allah Taala.

Wahai Anak Adam, engkau tidak mengamalkan perkara yang engkau ketahui, bagaimana engkau menuntut ilmu yang tidak engkau  ketahui.
Wahai Anak Adam, engkau beramal didunia ini seolah-olah engkau tidak akan mati esok hari dan engkau kumpulkan harta seolah-olah engkau akan kekal selama-lamanya.
Wahai dunia, haramkan orang yang bakhil terhadapmu, dan carilah orang yang zuhud pada mu, dan jadilah dirimu manis kepada mereka yang memandang kepadamu.

(Petikan hadis qudsi: kitab Imam Al-Ghazali: al-Mawa'is Fil Ahadis al-Qudsiah)




Friday, November 16, 2012

HADIS QUDSI - KELEBIHAN ZIKIR


Dari Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda, ”Sesungguhnya Allah S.W.T memiliki malaikat malaikat yang tugasnya adalah untuk mencari orang-orang yang sedang berzikir (kepada Allah). Apabila mereka mendapati satu majlis zikir, maka mereka akan duduk bersama dengan mereka dan mengelilingi dengan sayap-sayapnya bercantum hingga memenuhi jarak antara mereka dengan langit dunia. Apabila ahli zikir telah bersurai, mereka (malaikat) naik menuju ke langit.

Lalu Tuhan mereka bertanya kepada mereka, (sedangkan Allah lebih mengetahui daripada mereka), Dari manakah kamu sekalian? Mereka menjawab: Kami datang dari tempat hamba-hamba-Mu di dunia yang sedang mensucikan, mengagungkan, membesarkan, memuji dan memohon kepada Engkau. Allah bertanya, ’Apakah mereka melihatKu?’ Mereka menjawab,’Tidak, demi Allah, mereka tidak melihatMu’. Allah bertanya, ’Bagaimana seandainya mereka melihatKu?’ Mereka menjawab, ’Seandainya mereka melihatMu, tentulah ibadah mereka menjadi lebih kuat kepadaMu, lebih mengagungkanMu, lebih mensucikanMu’. Allah bertanya,’Lalu, apakah yang mereka minta kepadaKu?’ Mereka menjawab, ’Mereka minta syurga kepadaMu’. Allah bertanya,’Apakah mereka melihatnya?’ Mereka menjawab,’Tidak, demi Allah, Wahai Rabb, mereka tidak melihatnya’. Allah bertanya,’Bagaimana seandainya mereka melihatnya?’ Mereka menjawab,’Seandainya mereka melihatnya, tentulah mereka menjadi lebih semangat dan lebih banyak meminta serta lebih besar keinginan’.”Allah bertanya:“Lalu, dari apakah mereka minta perlindungan kepadaKu?” Mereka menjawab,”Mereka minta perlindungan dari neraka kepadaMu.” Allah bertanya,”Apakah mereka melihatnya?” Mereka menjawab,”Tidak, demi Allah, wahai Rabb. Mereka tidak melihatnya.” Allah berkata,”Bagaimana seandainya mereka melihatnya?” Mereka menjawab,”Seandainya mereka melihatnya, tentulah mereka menjadi lebih menjauhi dan lebih besar rasa takut (terhadap neraka).” 

Allah berfirman, ‘Aku jadikan kalian sebagai saksi bahwa Aku sudah mengampuni mereka dan sudah memberikan apa yang mereka minta dan Aku juga telah memberikan perlindungan kepada mereka dari apa yang mereka takutkan.’

Ada di antara para malaikat berkata, di kalangan mereka ada seorang yang termasuk dalam ahli zikir tetapi dia datang kerana sesuatu hajat (iaitu datang bukan untuk berzikir bersama mereka ) Allah s.w.t menjawab "Aku juga telah ampunkan dosanya. Mereka itu adalah satu kaum dimana sesiapa  yang bersama dengan mereka tidak akan ditimpa derita"
( HR. Bukhari & Muslim)


Sunday, October 7, 2012

Hadis Qudsi- Berkata Tapi Tidak Amalkan

Wahai orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan apa yang kamu sendiri tidak amalkan?
Berapa banyak kamu mengatakan sesuatu sedangkan kamu tidak mengerjakannya?
Berapa banyak kamu menegah orang lain apa yang kamu sendiri melakukannya?
Berapa banyak kamu menyuruh orang lain mengamalkannya sedangkan kamu tidak mengamalkannya?
Berapa banyak kamu mengumpulkan apa-apa yang kamu tidak makan?
Berapa banyak taubat yang ditangguhkan, dari sehari ke sehari, kemudian dari setahun ke setahun, kemudian untuk apa kamu menunggu? 
Adakah kamu telah selamat daripada mati?
Adakah kamu telah terlepas daripada neraka dan adakah terjamin keselamatan dengan mendapatkan syurga?
Adakah antara kamu dan Tuhan terjamin rahmat?

Nikmat-nikmat telah menjadikan kamu tidak tentu arah, kebaikan telah merosakkan kamu, panjang angan-angan terhadap dunia telah menipumu, janganlah menuntut kesihatan dan kesejahteraan (sekiranya kamu akan tertipu lagi dengannya) 

Hari-hari bagi kehidupanmu itu telah ditentukan, dan nafas-nafas kamu dihitung, utamakan dirimu untuk barang yang kekal bagimu di akhirat 

Wahai Anak Adam, sesungguhnya kamu mara bersama amalan kamu. Setiap hari umurmu semakin berkurangan, semenjak engkau dilahirkan maka semakin hampirlah kamu kepada kubur, sehingga kamu masuk kedalamnya 

Wahai Anak Adam, perumpamaan kehidupanmu di dunia ialah ibarat seekor lalat, dimana setiap kali bertemu dengan madu ia akan lalai, seolah-olah ia akan kekal padanya. Demikianlah di dunia ini, jangan menjadi seperti kayu api yang membakar dirinya dengan api untuk orang lain.

(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam Al-Ghazali : al-Mawaiz Fil Ahadis al-Qudsiah)


Friday, October 5, 2012

HADIS QUDSI - BAIKNYA AGAMA, DAGING DAN DARAH

Berfirman Allah Taala yang bermaksud:

Wahai Anak Adam.
Jika baik agama mu, daging mu dan darah mu, maka akan baiklah amalan mu, daging mu dan darah mu. jika buruk agama mu, maka akan rosak amalan mu, daging mu dan darah mu.

Janganlah kamu menjadi seperti lilin yang membakar dirinya dan menerangi manusia lain. Buanglah rasa kecintaan terhadap dunia dari hatimu, kerana Aku tidak akan himpunkan selama-lamanya dua cinta, iaitu cinta dunia dan cinta terhadap Ku dalam satu hati.

Kurangkan ghairah mu pada mengumpulkan harta, kerana rezki mu telah pun diperuntukkan, Sangat bakhil itu haram, dan kikir itu tercela, kerana sesungguhnya nikmat itu tidak akan kekal. Sesungguhnya bermati-matian mengumpul harta itu celaka.

Ajal itu telah ditetapkan dan kebenarannya telah diketahui. 
Sebaik-baik hikmat Allah itu adalah khusyuk.
Sebaik-baik kekayaan itu adalah qanaah. 
Sebaik-baik bekalan itu adalah takwa.
Sebaik-baik yang diberikan kepada kamu adalah kesejahteraan (pada badan, iman dan amal).

(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam Al-Ghazali : al-Mawaiz Fil Ahadis al-Qudsiah)




Wednesday, September 26, 2012

Al-Fatihah


Dari Abu Hurairah ra, Nabi S.A.W bersabda, “Barang siapa yang mengerjakan solat tanpa membaca Ummul Kitab, maka solatnya cacat, tidak sempurna". Abu Hurairah ditanya, “Bagaimana kalau kita menjadi makmum?” Dia menjawab, “Bacalah Ummul Kitab didalam hatimu saja kerana saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, Allah Azza wa Jalla berfirman, “Aku bahagikan separuh-separuh solat itu untuk Ku dan hambaKu, dan hambaKu berhak atas apa yang dia minta.”

Apabila hamba-Ku mengucapkan الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِين (segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam), maka Allah SWT berfirman, “Hambaku telah memuji Ku”

Apabila hamba Ku mengucapkan الرَّحمـنِ الرَّحِيم (Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang), maka Allah SWT menjawab, “HambaKu telah menyanjung Ku”

Apabila hamba Ku mengucapkan مَـالِكِ يَوْمِ الدِّين (Yang menguasai hari pembalasan), maka Allah SWT menjawab, ‘Hambaku berserah diri kepadaKu”

Apabila hamba Ku mengucapkan إِيَّاك نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِين (Hanya kepadaMu kami mengabdi dan hanya kepadaMu kami memohon pertolongan), maka Allah SWT menjawab, “Ini antara Aku dan hambaKu, hamba-Ku berhak atas apa yang dia minta.”

Apabila hamba Ku mengucapkan اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّين (Tunjukkan kami ke jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat keatas mereka, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai, dan bukan pula jalan orang-orang yang tersesat) maka Allah SWT menjawab, “Ini untuk hambaKu dan hambaKu berhak atas yang dia minta.”
(HR Muslim)

Tuesday, June 26, 2012

Hadis Qudsi-Cabaran ALLAH

Berfirman Allah Taala yang bermaksud: 

Wahai Anak Adam;
Tuntutlah pada Aku sekadar mana kamu berhajat kepada Ku, derhakalah padaKu sekadar mana kemampuan mu untuk bersabar menanggung azab neraka.

Janganlah kamu memerhatikan kepada lambatnya ajal mu, rezeki mu sekarang, serta dosa mu yang tertutup, setiap sesuatu itu akan binasa kecuali wajahNya, Bagi Nya lah hukuman, dan kepadaNya lah kamu akan kembali.

Petikan Hadis qudsi: Kitab Imam al Ghazali; al Mawa'is Fil alHadis al Qudsiah



Wednesday, May 16, 2012

Hadis Qudsi - Siapa Fakir dan Miskin Di sisi Allah

Berfirman Allah Taala yang bermaksud

Wahai anak Adam, ingatlah akan nikmat-nikmat yang Aku anugerahkan kepadamu, Tunaikanlah janjimu pada Ku, nescaya akan Ku tunaikan janji-janji Ku kepadamu, dan kepadaKu kamu takut.

Sebagaimana kamu tidak mengetahui jalan melainkan dengan petunjuk, demikian jugalah, tiada jalan ke syurga melainkan dengan amal soleh, seperti mana kamu tidak akan memperolehi harta, melainkan dengan bersusah payah, demikianlah juga, tidak akan masuk ke syurga melainkan mereka yang bersabar melakukan ibadah kepadaKu.

Hampirlah dirimu kepada Allah dengan melakukan amalan-amalan sunat, tuntutlah keredhaanKu, dengan keredhaan orang miskin terhadap kamu. Sukalah pada rahmat Ku dengan berada didalam majlis orang alim. Sesungguhnya, rahmat Ku tidak terpisah daripada mereka, walaupun sekelip mata

Firman Allah:
Wahai Musa, dengarlah perkara yang aku katakan, sebenar-benarnya siapa yang angkuh terhadap orang miskin, Aku akan bangkitkan-nya pada hari kiamat dalam keadaan rupanya seperti seekor semut yang kecil.  

Barangsiapa yang merendahkan diri kepada orang miskin, akan Kuangkat derajat-nya didunia dan akhirat.
Barangsiapa yang membuka aib orang miskin, Aku akan kumpulkan-nya pada hari kiamat, dengan keadaan tidak tertutup rahsia-nya. 
Barangsiapa yang menghina orang fakir, sesungguhnya dia telah mengisytiharkan perang denganKu  
Barang siapa yang beriman kepadaKu, nescaya para malaikat akan berjabat tangan-nya di dunia dan akhirat.

Petikan Hadis qudsi: Kitab Imam al Ghazali; al Mawa'is Fil alHadis al Qudsiah




Friday, April 13, 2012

Hadis Qudsi - ALLAH Al Wahhab Al Karim

Berfirman Allah Taala yang bermaksud :
Wahai manusia, sesungguhnya dunia itu ialah kampung, bagi sesiapa yang tiada kampung, harta bagi mereka yang tiada harta, dunia itu menghimpunkan orang yang tidak berakal. Orang yang bergembira dengan dunia itu ialah orang yang tidak faham mengenainya. Di dunia itu, akan bakhil orang yang tidak bertawakkal.

Orang yang memburu segala keinginan dunia ialah orang yang tidak benar benar mengenalinya. Maka barang siapa yang inginkan nikmat yang akan hilang, dan kehidupan yang sementara, maka sesungguhnya dia telah menzalimi dirinya sendiri serta menderhakai Tuhannya. Dia melupai akhirat dan dunia menipunya, dan dia mengingini zahir dan batin dari dunia ini. Sesungguhnya, mereka yang melakukan dosa akan menerima balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.

Wahai Anak Adam, bergembala denganKu, dan berniaga denganKu, beramal denganKu, dan pintalah kesempurnaan  daripadaKu, terhadap keuntungan-keuntungan terhadap dirimu, di sisiKu apa apa yang tidak dapat digambarkan oleh penglihatan mata, tidak dapat didengar oleh telinga dan tidak terlintas di dalam hati, tidak akan habis, dan tidak juga berkurangan khazanah Ku, sesungguhnya, Akulah Tuhan Yang Maha Pemberi (Al Wahhab) lagi Maha Mulia (Al Karim)

Petikan Hadis qudsi: Kitab Imam al Ghazali; al Mawa'is Fil alHadis al Qudsiah





Friday, April 6, 2012

Hadis Qudsi - Penawar bagi hati.

Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

Wahai manusia: 
Sesungguhnya, telah datang kepadamu pengajaran daripada Tuhan kamu dan penawar bagi hati
Kenapakah kamu memilih untuk berbuat baik hanya kepada mereka yang berbuat baik kepada mu?
Kenapakah kamu memilih untuk berhubung hanya kepada mereka yang berhubung dengan mu?
Kenapakah kamu memilih untuk berbicara hanya kepada mereka yang berbicara dengan mu?
Kenapakah kamu memilih untuk memberi makan, hanya kepada mereka yang memberi makan kepadamu?
Kenapakah kamu memilih untuk memuliakan, hanya kepada mereka yang memuliakan mu?

Tidak terlebih baik seseorang itu daripada yang lain. 
Sesungguhnya orang yang beriman kepada Allah dan Rasul, mereka :
melakukan kebaikan kepada orang yang jahat kepada mereka,
berhubung dengan mereka yang memutuskan hubungan, 
memaafkan kepada mereka yang enggan memberi kemaafan kepadanya, 
beramanah kepada orang yang mengkhianatinya, 
berbicara dengan mereka yang enggan berbicara dengannya, 
memuliakan mereka yang menghinanya.
Sesungguhnya Allah mengetahui tentang perbuatan kamu.

(petikan Hadis Qudsi Kitab imam al Ghazali; al Mawa'iz Fil Ahadis al Qudsiah)




Friday, March 23, 2012

Hadis Qudsi- What Goes Around Comes Around

Berfirman Allah Taala yang bermaksud

Wahai Anak Adam:
Janganlah kamu melaknat makhluk, kerana laknat tersebut akan kembali semula kepadamu.

Wahai Anak Adam:
Telah teguh langit tanpa ada sebatang pun tiang  di angkasa hanya dengan sekadar satu nama sahaja daripada nama nama Ku, tetapi hatimu tidak teguh walau dengan seribu pengajaran daripada kitabKu

Wahai manusia:
Sebagaimana batu tidak akan menjadi lembut didalam air, demikianlah peringatan tidak akan memberi kesan kepada hati yang keras

Wahai Anak Adam:
Bagaimana kamu mengaku bahawa kamu Hamba Allah, tetapi kemudiannya kamu menderhakai Nya?
Bagaimana kamu boleh meyakini bahawa kematian itu benar, sedangkan kamu mengingkarinya?
Kamu mengatakan dengan lidahmu perkara yang kamu tidak ada pengetahuan mengenainya, kerana pada sangkaan mu ia adalah remeh, tetapi di sisi Allah ia adalah besar.

(petikan Hadis Qudsi Kitab imam al Ghazali; al Mawa'iz Fil Ahadis al Qudsiah)


Friday, March 9, 2012

Hadis Qudsi - Rahsia dan Rahsia

Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

Wahai Anak Adam
tidak Aku jadikan kamu sia-sia dan terdinding, Aku tidak lupa, dan Aku sangat mengetahui terhadap hal-halmu. Tidak sesekali kamu memperolehi darjat disisi Ku, melainkan dengan bersabar atas perkara perkara yang kamu tidak sukai semata-mata menuntut keredhaan Ku. Bersabar untuk mentaati Ku, itu lebih mudah daripada bersabar melakukan maksiat, meninggalkan dosa itu lebih mudah bagimu daripada merasai azab neraka. Azab dunia itu lebih ringan bagimu daripada azab akhirat.

Wahai Anak Adam
Setiap dari kamu itu sesat kecuali mereka yang mendapat petunjuk dariKu. Setiap dari kamu itu bersalah, melainkan Aku memeliharanya. Bertaubatlah kepadaKu, nescaya Aku akan mengasihimu,janganlah kamu menyembunyikan sebarang rahsia daripada Tuhan, tidak tersembunyi bagiNya sebarang rahsia.

(petikan Hadis Qudsi Kitab imam al Ghazali; al Mawa'iz Fil Ahadis al Qudsiah)





Wednesday, February 22, 2012

Hadis Qudsi- Ikhlaskan Amalanmu

Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

Wahai Anak Adam
Wahai hamba kepada dinar dan dirham
Aku menjadikan kedua duanya bagimu supaya kamu
memperolehi makanan dan pakaian daripada rezekiKu agar
engkau bertasbih kepada Ku dan mensucikan Aku

Tetapi kemudiannya kamu mengambil kitabKu
dan kamu letakkannya di belakang kamu

Kamu mengambil dinar dan dirham dan
kamu junjung di atas kepalamu

Engkau memuliakan rumah rumahmu dan
kamu merendah rumah rumahKu

Bukanlah kamu itu orang baik baik dan orang merdeka
melainkan kamu itu hamba dunia

Sebenarnya penghimpunan seperti itu
(yang menghimpunkan harta di dalam dunia)
umpama kubur yang diwarnakan dengan warna putih
Zahirnya kelihatan indah tetapi didalamnya sangat mengerikan

Kamu juga berbuat baik terhadap manusia
serta mengasihi mereka dengan kata katamu yang manis
dan perbuatan kamu yang cantik, tetapi kamu menjauhi dengan hati,
hati kamu yang keras dan keadaan kamu yang keji

Wahai Anak Adam
ikhlaskanlah amalanmu
dan pintalah kepadaKu akan kuperkenankan
permintaanmu itu lebih banyak daripada
yang dipinta oleh orang yang meminta

(petikan Hadis Qudsi Kitab imam al Ghazali; al Mawa'iz Fil Ahadis al Qudsiah)





Friday, February 17, 2012

Hadis Qudsi - Allah Yang Maha Kaya

Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

Wahai Anak Adam;
Aku tidak menjadikan kamu sebagai tempat untuk Ku meminta sesuatu perkara supaya menjadi banyak perkara perkara yang sedikit. Bukan untuk meminta keamanan dari kamu daripada perkara yang liar. Bukan untuk memohon pertolongan daripadamu terhadap urusan Aku lemah untuk mengatasinya. Bukan untuk Aku mengambil manafaat dan sebagai penyelamat daripada kemudaratan. Bahkan Aku menjadikan kamu untuk menyembah Aku selama-lamanya dan supaya mensyukuri Ku sebanyak-banyaknya dan bertasbih kepada Ku pada waktu pagi dan petang.

Wahai sekalian manusia
seandainya kamu semua daripada yang paling awal dan yang penghabisan, sama ada manusia atau jin,kecil dan besar, merdeka dan hamba, saling tolong menolong untuk mentaati Ku, maka yang demikian itu, tidak menambahkan walau sebesar zarrah kebesaran kerajaan Ku.

Siapa yang berjihad,  jihad nya hanya untuk diri nya sendiri, sesungguhnya, Allah Maha Kaya daripada seluruh alam 

Wahai Anak Adam,
Kamu akan disakiti sebagaimana kamu menyakiti, Apa yang kamu lakukan, maka hal yang sama jugalah yang akan dilakukan terhadapmu.

(petikan Hadis Qudsi Kitab imam al Ghazali; al Mawa'iz Fil Ahadis al Qudsiah)



Friday, February 10, 2012

Hadis Qudsi - Segerakan Taubat

Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

Wahai Anak Adam
Janganlah kamu tergolong diantara mereka yang suka melengahkan taubat dan memanjangkan angan-angan
Janganlah kamu mengharapkan kebahagian akhirat tanpa beramal
Memperkatakan perkataan ahli ahli ibadah tetapi beramal dengan amalan munafik

Sekiranya diberi tidak pernah merasa cukup
Sekiranya tidak memperolehi sesuatu, tidak mahu bersabar
Menyeru kepada kebaikan tetapi tidak melakukan kebaikan
Mencegah kemungkaran tetapi masih bergelumang dengan nya
Mengasihi orang soleh, tetapi tidak mahu bersama mereka
Bercakap perkara yang tidak dibuat, buat apa yang tidak disuruh
Minta ditunaikan janji (janji-janji Allah) tetapi dia tidak menunaikan janji (hak-hak Allah)

Wahai Anak Adam
Setiap hari yang baru, bumi sentiasa menegur mu dengan kata-kata
Wahai Anak Adam, engkau berjalan dipermukaan ku dan setelah itu engkau akan disimpan di dalam perutku, engkau memakan sebanyak yang diinginkan ketika berada dipermukaan ku, kemudian  ulat akan memakan engkau  didalam perutku

Wahai Anak Adam
Setiap hari yang baru, bumi sentiasa menegur mu dengan kata-kata
Wahai Anak Adam, aku adalah rumah yang sengsara, aku adalah rumah yang bakal meninggalkan kamu keseorangan, aku adalah rumah yang gelap, aku ialah rumah bagi ular dan kala jengking.
Oleh itu, makmurkan (dengan amal soleh), dan janganlah engkau roboh daku.

(petikan Hadis Qudsi Kitab imam al Ghazali; al mawa'iz Fil Ahadis al Qudsiah)






Friday, February 3, 2012

Hadis Qudsi - Malu Allah Pada Hamba Nya

Berfirman Allah Taala yang bermaksud:

Barangsiapa yang seawal-awal lagi dalam keadaan 
dukacita terhadap dunia, tidak akan dia bertambah hampir kepada Allah melainkan semakin jauh, tidak akan bertambah didunia melainkan keletihan, tidak akan bertambah diakhirat melainkan kepayahan. Allah akan mencampakkan rasa dukacita yang berterusan, kesibukan, tiada kerehatan, kefakiran, tidak memperolehi kekayaan dan angan-angan yang memanjang kedalam hati nya.

Wahai Anak Adam: 

Setiap hari berkurangan umur mu sedangkan engkau tidak menyedarinya, setiap hari Aku memberi rezeki kepada mu tetapi engkau lupa untuk memuji Ku. Tidak memadai bagimu apa yang sedikit, tidak pula engkau merasa puas terhadap apa yang banyak.

Wahai Anak Adam;

Tidak ketinggalan satu hari pun melainkan datang daripada Ku rezki untukmu tetapi, pada malam harinya aku didatangi oleh malaikat membawa amalan kejahatan mu, engkau memakan rezeki Ku, kemudian engkau membalasnya dengan menderhaka kepadaKu, engkau memohon dariKu, lalu Aku perkenankan permohonan mu. Kebaikan dariKu sentiasa mengalir kepadamu, dan kejahatan darimu sampai kepada Ku.

Sesungguhnya, Aku adalah sebaik-baik Tuan kepada mu, dan engkau adalah sejahat-jahat hamba kepadaKu, engkau menanggalkan daripadaKu apa yang Aku berikan kepadamu, Aku tutup kejahatan demi kejahatan mu, Aku malu terhadapmu tapi engkau berasa tidak malu denganKu, engkau melupakan-Ku dan mengingati selain dariKu, engkau merasai takut pada manusia tetapi merasa aman terhadapKu, engkau merasa gentar dengan marahnya manusia tetapi engkau merasa aman terhadap murka Ku

(petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam Al-Ghazali; al-Mawa'iz Fil Ahadis al-Qudsiah)






Wednesday, January 18, 2012

Hadis Qudsi - Cinta Allah Pada HambaNya

Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata, Telah bersabda Rasulullah s.a.w., sesungguhnya Allah berfirman : Barangsiapa yang memusuhi kekasih Ku, maka Aku istiharkan perang dengan nya. Tiada sesuatu yang lebih Aku sukai dari hamba Ku, melainkan dia mengerjakan amalan yang Aku wajibkan kepada nya, untuk mendekatkan diri kepada Ku. Dan hamba Ku selalu mengerjakan amalan-amalan sunah untuk mendekatkan diri kepada Ku sehingga aku mencintainya. Apabila aku menyintai nya, maka Aku merupakan pendengaran yang dia pergunakan untuk mendengar nya. Aku merupakan penglihatan yang dia pergunakan untuk melihat. Aku merupakan tangan yang dia pergunakan untuk bertindak, Aku adalah kakinya, yang dia pergunakan untuk berjalan. Andainya dia meminta sesuatu kepada Ku, pastilah aku tunaikan, jika dia meminta perlindungan kepada Aku, nescaya Aku beri perlindungan untuknya.

(hadis riwayat Bukhari:: dari kitab Shahih Riyadhus Shalihin Imam Nawawi)






Friday, January 13, 2012

HADIS QUDSI - Amaran dan Ajaran Allah

Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

Aku naik saksi terhadap zat-Ku sendiri bahawa sesungguhnya tiada Tuhan kecuali Aku yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Ku dan Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Ku. 

Barangsiapa yang tidak reda di atas ketentuan Ku, tidak sabar atas ujian yang Aku timpakan, tidak bersyukur atas nikmat-nikmat Ku, dan tidak memadai dengan pemberian Ku, maka sembahlah tuhan selain dari Aku. Barangsiapa yang seawal-awalnya lagi dengan perasaan dukacita terhadap kehidupan dunia nya, seumpama dia seawal-awalnya lagi didalam keadaan memarahi Ku. Barangsiapa yang membantah musibah yang Aku berikan kepadanya, sesungguhnya dia telah membantah Ku. 

Barangsiapa yang bertemu dengan orang kaya, lalu merendah diri kerana kekayaannya, maka terkeluar 2/3 daripada agamanya. Barangsiapa yang memukul mukanya kerana meratapi mayat, seolah olah dia mengambil panah untuk membunuhKu. Barangsiapa yang mematahkan kayu di atas kuburan kerana meratapi kematian, seolah olah dia telah menghancurkan pintu Ka'abah Ku dengan tangannya. Barang siapa yang tidak menghiraukan dari mana dia memperolehi makanan (halal atau haram), maka Allah tidak menghiraukan juga untuk memasukkan dia melalui mana-mana pintu neraka.

Barangsiapa yang tidak meningkatkan agamanya, maka dia orang yang kurang, barang siapa yang kurang, maka mati itu lebih utama baginya. Barangsiapa yang mengamalkan apa-apa yang dia tahu, nescaya Allah akan mengurniakan nya ilmu yang dia tidak tahu. Barang siapa yang panjangkan angan-angan nya, tidak akan ikhlas amalan nya.

(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali: al-Mawa'iz Fil ahadis ai-Qudsiah)