Wednesday, February 22, 2012

Hadis Qudsi- Ikhlaskan Amalanmu

Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

Wahai Anak Adam
Wahai hamba kepada dinar dan dirham
Aku menjadikan kedua duanya bagimu supaya kamu
memperolehi makanan dan pakaian daripada rezekiKu agar
engkau bertasbih kepada Ku dan mensucikan Aku

Tetapi kemudiannya kamu mengambil kitabKu
dan kamu letakkannya di belakang kamu

Kamu mengambil dinar dan dirham dan
kamu junjung di atas kepalamu

Engkau memuliakan rumah rumahmu dan
kamu merendah rumah rumahKu

Bukanlah kamu itu orang baik baik dan orang merdeka
melainkan kamu itu hamba dunia

Sebenarnya penghimpunan seperti itu
(yang menghimpunkan harta di dalam dunia)
umpama kubur yang diwarnakan dengan warna putih
Zahirnya kelihatan indah tetapi didalamnya sangat mengerikan

Kamu juga berbuat baik terhadap manusia
serta mengasihi mereka dengan kata katamu yang manis
dan perbuatan kamu yang cantik, tetapi kamu menjauhi dengan hati,
hati kamu yang keras dan keadaan kamu yang keji

Wahai Anak Adam
ikhlaskanlah amalanmu
dan pintalah kepadaKu akan kuperkenankan
permintaanmu itu lebih banyak daripada
yang dipinta oleh orang yang meminta

(petikan Hadis Qudsi Kitab imam al Ghazali; al Mawa'iz Fil Ahadis al Qudsiah)





Friday, February 17, 2012

Hadis Qudsi - Allah Yang Maha Kaya

Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

Wahai Anak Adam;
Aku tidak menjadikan kamu sebagai tempat untuk Ku meminta sesuatu perkara supaya menjadi banyak perkara perkara yang sedikit. Bukan untuk meminta keamanan dari kamu daripada perkara yang liar. Bukan untuk memohon pertolongan daripadamu terhadap urusan Aku lemah untuk mengatasinya. Bukan untuk Aku mengambil manafaat dan sebagai penyelamat daripada kemudaratan. Bahkan Aku menjadikan kamu untuk menyembah Aku selama-lamanya dan supaya mensyukuri Ku sebanyak-banyaknya dan bertasbih kepada Ku pada waktu pagi dan petang.

Wahai sekalian manusia
seandainya kamu semua daripada yang paling awal dan yang penghabisan, sama ada manusia atau jin,kecil dan besar, merdeka dan hamba, saling tolong menolong untuk mentaati Ku, maka yang demikian itu, tidak menambahkan walau sebesar zarrah kebesaran kerajaan Ku.

Siapa yang berjihad,  jihad nya hanya untuk diri nya sendiri, sesungguhnya, Allah Maha Kaya daripada seluruh alam 

Wahai Anak Adam,
Kamu akan disakiti sebagaimana kamu menyakiti, Apa yang kamu lakukan, maka hal yang sama jugalah yang akan dilakukan terhadapmu.

(petikan Hadis Qudsi Kitab imam al Ghazali; al Mawa'iz Fil Ahadis al Qudsiah)



Friday, February 10, 2012

Hadis Qudsi - Segerakan Taubat

Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

Wahai Anak Adam
Janganlah kamu tergolong diantara mereka yang suka melengahkan taubat dan memanjangkan angan-angan
Janganlah kamu mengharapkan kebahagian akhirat tanpa beramal
Memperkatakan perkataan ahli ahli ibadah tetapi beramal dengan amalan munafik

Sekiranya diberi tidak pernah merasa cukup
Sekiranya tidak memperolehi sesuatu, tidak mahu bersabar
Menyeru kepada kebaikan tetapi tidak melakukan kebaikan
Mencegah kemungkaran tetapi masih bergelumang dengan nya
Mengasihi orang soleh, tetapi tidak mahu bersama mereka
Bercakap perkara yang tidak dibuat, buat apa yang tidak disuruh
Minta ditunaikan janji (janji-janji Allah) tetapi dia tidak menunaikan janji (hak-hak Allah)

Wahai Anak Adam
Setiap hari yang baru, bumi sentiasa menegur mu dengan kata-kata
Wahai Anak Adam, engkau berjalan dipermukaan ku dan setelah itu engkau akan disimpan di dalam perutku, engkau memakan sebanyak yang diinginkan ketika berada dipermukaan ku, kemudian  ulat akan memakan engkau  didalam perutku

Wahai Anak Adam
Setiap hari yang baru, bumi sentiasa menegur mu dengan kata-kata
Wahai Anak Adam, aku adalah rumah yang sengsara, aku adalah rumah yang bakal meninggalkan kamu keseorangan, aku adalah rumah yang gelap, aku ialah rumah bagi ular dan kala jengking.
Oleh itu, makmurkan (dengan amal soleh), dan janganlah engkau roboh daku.

(petikan Hadis Qudsi Kitab imam al Ghazali; al mawa'iz Fil Ahadis al Qudsiah)






Friday, February 3, 2012

Hadis Qudsi - Malu Allah Pada Hamba Nya

Berfirman Allah Taala yang bermaksud:

Barangsiapa yang seawal-awal lagi dalam keadaan 
dukacita terhadap dunia, tidak akan dia bertambah hampir kepada Allah melainkan semakin jauh, tidak akan bertambah didunia melainkan keletihan, tidak akan bertambah diakhirat melainkan kepayahan. Allah akan mencampakkan rasa dukacita yang berterusan, kesibukan, tiada kerehatan, kefakiran, tidak memperolehi kekayaan dan angan-angan yang memanjang kedalam hati nya.

Wahai Anak Adam: 

Setiap hari berkurangan umur mu sedangkan engkau tidak menyedarinya, setiap hari Aku memberi rezeki kepada mu tetapi engkau lupa untuk memuji Ku. Tidak memadai bagimu apa yang sedikit, tidak pula engkau merasa puas terhadap apa yang banyak.

Wahai Anak Adam;

Tidak ketinggalan satu hari pun melainkan datang daripada Ku rezki untukmu tetapi, pada malam harinya aku didatangi oleh malaikat membawa amalan kejahatan mu, engkau memakan rezeki Ku, kemudian engkau membalasnya dengan menderhaka kepadaKu, engkau memohon dariKu, lalu Aku perkenankan permohonan mu. Kebaikan dariKu sentiasa mengalir kepadamu, dan kejahatan darimu sampai kepada Ku.

Sesungguhnya, Aku adalah sebaik-baik Tuan kepada mu, dan engkau adalah sejahat-jahat hamba kepadaKu, engkau menanggalkan daripadaKu apa yang Aku berikan kepadamu, Aku tutup kejahatan demi kejahatan mu, Aku malu terhadapmu tapi engkau berasa tidak malu denganKu, engkau melupakan-Ku dan mengingati selain dariKu, engkau merasai takut pada manusia tetapi merasa aman terhadapKu, engkau merasa gentar dengan marahnya manusia tetapi engkau merasa aman terhadap murka Ku

(petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam Al-Ghazali; al-Mawa'iz Fil Ahadis al-Qudsiah)






Wednesday, January 18, 2012

Hadis Qudsi - Cinta Allah Pada HambaNya

Dari Abu Hurairah r.a. ia berkata, Telah bersabda Rasulullah s.a.w., sesungguhnya Allah berfirman : Barangsiapa yang memusuhi kekasih Ku, maka Aku istiharkan perang dengan nya. Tiada sesuatu yang lebih Aku sukai dari hamba Ku, melainkan dia mengerjakan amalan yang Aku wajibkan kepada nya, untuk mendekatkan diri kepada Ku. Dan hamba Ku selalu mengerjakan amalan-amalan sunah untuk mendekatkan diri kepada Ku sehingga aku mencintainya. Apabila aku menyintai nya, maka Aku merupakan pendengaran yang dia pergunakan untuk mendengar nya. Aku merupakan penglihatan yang dia pergunakan untuk melihat. Aku merupakan tangan yang dia pergunakan untuk bertindak, Aku adalah kakinya, yang dia pergunakan untuk berjalan. Andainya dia meminta sesuatu kepada Ku, pastilah aku tunaikan, jika dia meminta perlindungan kepada Aku, nescaya Aku beri perlindungan untuknya.

(hadis riwayat Bukhari:: dari kitab Shahih Riyadhus Shalihin Imam Nawawi)






Friday, January 13, 2012

HADIS QUDSI - Amaran dan Ajaran Allah

Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

Aku naik saksi terhadap zat-Ku sendiri bahawa sesungguhnya tiada Tuhan kecuali Aku yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Ku dan Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Ku. 

Barangsiapa yang tidak reda di atas ketentuan Ku, tidak sabar atas ujian yang Aku timpakan, tidak bersyukur atas nikmat-nikmat Ku, dan tidak memadai dengan pemberian Ku, maka sembahlah tuhan selain dari Aku. Barangsiapa yang seawal-awalnya lagi dengan perasaan dukacita terhadap kehidupan dunia nya, seumpama dia seawal-awalnya lagi didalam keadaan memarahi Ku. Barangsiapa yang membantah musibah yang Aku berikan kepadanya, sesungguhnya dia telah membantah Ku. 

Barangsiapa yang bertemu dengan orang kaya, lalu merendah diri kerana kekayaannya, maka terkeluar 2/3 daripada agamanya. Barangsiapa yang memukul mukanya kerana meratapi mayat, seolah olah dia mengambil panah untuk membunuhKu. Barangsiapa yang mematahkan kayu di atas kuburan kerana meratapi kematian, seolah olah dia telah menghancurkan pintu Ka'abah Ku dengan tangannya. Barang siapa yang tidak menghiraukan dari mana dia memperolehi makanan (halal atau haram), maka Allah tidak menghiraukan juga untuk memasukkan dia melalui mana-mana pintu neraka.

Barangsiapa yang tidak meningkatkan agamanya, maka dia orang yang kurang, barang siapa yang kurang, maka mati itu lebih utama baginya. Barangsiapa yang mengamalkan apa-apa yang dia tahu, nescaya Allah akan mengurniakan nya ilmu yang dia tidak tahu. Barang siapa yang panjangkan angan-angan nya, tidak akan ikhlas amalan nya.

(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam al-Ghazali: al-Mawa'iz Fil ahadis ai-Qudsiah) 





Sunday, December 4, 2011

Maka nikmat Tuhanmu yang mana satukah yang kamu dustakan


Jika kau menangis kerana kehilangan kekasihmu
ingatlah, engkau dulu mempunyai kekasih
sedangkan berapa ramai insan tak pernah merasa apa itu cinta

Jika kau menangis kerana kehilangan ayah dan ibu
ingatlah berapa ramai insan yang tak pernah merasai kehadiran ibu dan ayah disisi...
malah tidak pernah kenal siapa ibu dan ayah mereka

Jika kau menangis kerana kehilangan anakmu yang telah pergi dahulu
ingatlah berapa ramai insan yang tidak dikurniakan zuriat...
sedangkan kau pernah merasa nikmatnya mempunyai zuriat walaupun cuma seketika

Jika kau menangis kerana kehilangan suami atau isteri 
ingatlah berapa ramai yang tidak pernah merasa nikmatnya bersuami atau beristeri...
sedangkan kau pernah merasa nikmatnya berumahtangga

Jika kau merasa pahitnya kembali keseorangan
ingatlah berapa ramai yang tidak pernah merasa nikmatnya berteman...
sedangkan kau pernah merasa nikmatnya hidup berteman

Jika kau merasa betapa merana hidup tanpa harta yang banyak
Ingatlah berapa ramai yang tidak berharta dan tidak pernah merasa nikmatnya berharta 
sedangkan kau pernah merasa nikmatnya berharta.

Ingatlah Sahabatku,

Jika kau merasa kehilangan seseorang, ketahuilah,  Allah dan rasulNya mencintai mu,  hanya kita yang tak tahu. Cinta Allah dan RasulNya, itulah cinta sejati. Allah dan RasulNya tidak akan sesekali akan meninggalkanmu, menjauhi diri darimu dan mengecewakan kamu.   

Jika kau merasa jiwa mu kosong, ketahuilah oleh mu, Allah yang Maha Agong adalah tempat untuk mu mengadu, tempat bagi mu merayu, tempat bagimu memohon. Sesungguhnya Demi Asma ul Husna - Rabb Yang memiliki nama yang Mulia, Allah hampir denganmu, Firman ALLAH  "AKU HAMPIR DENGANMU LEBIH DARI URAT LEHERMU".  (SURAH QAF AYAT 16).. sembah dan taatlah perintahNya ...pasti hidupmu bahagia  di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya Sahabatku..... Maka nikmat Tuhanmu yang mana satukah yang kamu dustakan?

"Dalam surah Ar-Rahman sebanyak 31 kali Allah bertanya kepada manusia dan makhluknya dengan pertanyaan, “Maka nikmat Tuhanmu yang mana satukah yang kamu dustakan?”

Abu Iemranz
4 Disember 2011
8 Muharram 1433H