Friday, May 25, 2012

Hadis Qudsi- Ihsannya Allah

Berfirman Allah Taala yang bermaksud

Wahai Anak Adam,
Berapa banyak pelita, yang telah dipadamkan oleh hembusan angin
Berapa ramai ahli ibadah, yang telah dirosakkan oleh ujub
Berapa ramai orang kaya, telah dirosakkan oleh kekayaannya  
Ramai orang yang sihat telah dirosakkan oleh kesihatannya   
Ramai orang alim telah dirosakkan oleh ilmunya  
Ramai orang jahil, telah dirosakkan oleh kejahilannya.  

Kalaulah tidak kerana orang tua yang bongkok, pemuda yang khusyuk,
bayi yang menyusu, binatang yang sihat, 
nescaya akan Aku jadikan langit itu daripada besi,  
bumi itu kering dan tanahnya daripada abu  
Aku tidak akan turunkan hujan walau setitik
tidak Aku tumbuhkan daripada bumi walaupun sebutir benih, dan  
akan Aku tuangkan atasmu azab yang teramat pedih

Petikan Hadis qudsi: Kitab Imam al Ghazali; al Mawa'is Fil alHadis al Qudsiah



Wednesday, May 16, 2012

Hadis Qudsi - Siapa Fakir dan Miskin Di sisi Allah

Berfirman Allah Taala yang bermaksud

Wahai anak Adam, ingatlah akan nikmat-nikmat yang Aku anugerahkan kepadamu, Tunaikanlah janjimu pada Ku, nescaya akan Ku tunaikan janji-janji Ku kepadamu, dan kepadaKu kamu takut.

Sebagaimana kamu tidak mengetahui jalan melainkan dengan petunjuk, demikian jugalah, tiada jalan ke syurga melainkan dengan amal soleh, seperti mana kamu tidak akan memperolehi harta, melainkan dengan bersusah payah, demikianlah jugatidak akan masuk ke syurga melainkan mereka yang bersabar melakukan ibadah kepadaKu.

Hampirlah dirimu kepada Allah dengan melakukan amalan-amalan sunat, tuntutlah keredhaanKu, dengan keredhaan orang miskin terhadap kamu. Sukalah pada rahmat Ku dengan berada didalam majlis orang alim. Sesungguhnya, rahmat Ku tidak terpisah daripada mereka, walaupun sekelip mata

Firman Allah:
Wahai Musa, dengarlah perkara yang aku katakan, sebenar-benarnya siapa yang angkuh terhadap orang miskin, Aku akan bangkitkan-nya pada hari kiamat dalam keadaan rupanya seperti seekor semut yang kecil.  

Barangsiapa yang merendahkan diri kepada orang miskin, akan Kuangkat derajat-nya didunia dan akhirat.
Barangsiapa yang membuka aib orang miskin, Aku akan kumpulkan-nya pada hari kiamat, dengan keadaan tidak tertutup rahsia-nya. 
Barangsiapa yang menghina orang fakir, sesungguhnya dia telah mengisytiharkan perang denganKu  
Barang siapa yang beriman kepadaKu, nescaya para malaikat akan berjabat tangan-nya di dunia dan akhirat.

Petikan Hadis qudsi: Kitab Imam al Ghazali; al Mawa'is Fil alHadis al Qudsiah




Friday, April 13, 2012

Hadis Qudsi - ALLAH Al Wahhab Al Karim

Berfirman Allah Taala yang bermaksud :
Wahai manusia, sesungguhnya dunia itu ialah kampung, bagi sesiapa yang tiada kampung, harta bagi mereka yang tiada harta, dunia itu menghimpunkan orang yang tidak berakal. Orang yang bergembira dengan dunia itu ialah orang yang tidak faham mengenainya. Di dunia itu, akan bakhil orang yang tidak bertawakkal.

Orang yang memburu segala keinginan dunia ialah orang yang tidak benar benar mengenalinya. Maka barang siapa yang inginkan nikmat yang akan hilang, dan kehidupan yang sementara, maka sesungguhnya dia telah menzalimi dirinya sendiri serta menderhakai Tuhannya. Dia melupai akhirat dan dunia menipunya, dan dia mengingini zahir dan batin dari dunia ini. Sesungguhnya, mereka yang melakukan dosa akan menerima balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.

Wahai Anak Adam, bergembala denganKu, dan berniaga denganKu, beramal denganKu, dan pintalah kesempurnaan  daripadaKu, terhadap keuntungan-keuntungan terhadap dirimu, di sisiKu apa apa yang tidak dapat digambarkan oleh penglihatan mata, tidak dapat didengar oleh telinga dan tidak terlintas di dalam hati, tidak akan habis, dan tidak juga berkurangan khazanah Ku, sesungguhnya, Akulah Tuhan Yang Maha Pemberi (Al Wahhab) lagi Maha Mulia (Al Karim)

Petikan Hadis qudsi: Kitab Imam al Ghazali; al Mawa'is Fil alHadis al Qudsiah





Friday, April 6, 2012

Hadis Qudsi - Penawar bagi hati.

Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

Wahai manusia: 
Sesungguhnya, telah datang kepadamu pengajaran daripada Tuhan kamu dan penawar bagi hati
Kenapakah kamu memilih untuk berbuat baik hanya kepada mereka yang berbuat baik kepada mu?
Kenapakah kamu memilih untuk berhubung hanya kepada mereka yang berhubung dengan mu?
Kenapakah kamu memilih untuk berbicara hanya kepada mereka yang berbicara dengan mu?
Kenapakah kamu memilih untuk memberi makan, hanya kepada mereka yang memberi makan kepadamu?
Kenapakah kamu memilih untuk memuliakan, hanya kepada mereka yang memuliakan mu?

Tidak terlebih baik seseorang itu daripada yang lain. 
Sesungguhnya orang yang beriman kepada Allah dan Rasul, mereka :
melakukan kebaikan kepada orang yang jahat kepada mereka,
berhubung dengan mereka yang memutuskan hubungan, 
memaafkan kepada mereka yang enggan memberi kemaafan kepadanya, 
beramanah kepada orang yang mengkhianatinya, 
berbicara dengan mereka yang enggan berbicara dengannya, 
memuliakan mereka yang menghinanya.
Sesungguhnya Allah mengetahui tentang perbuatan kamu.

(petikan Hadis Qudsi Kitab imam al Ghazali; al Mawa'iz Fil Ahadis al Qudsiah)




Saturday, March 31, 2012

Kelebihan Kalimah Taiyibah


Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidaklah seorang hamba mengucapkan kalimah La ilaha illallah dengan ikhlas kecuali dibukakan baginya pintu-pintu langit sehingga ucapannya mencapai ke Arash dengan syarat orang yang mengucapkannya menghindarkan diri dari dosa-dosa besar. (HR. Tarmizi)


Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda "Perbaharui iman kamu". Para sahabat r.a. bertanya, Wahai Rasulullah s.a.w. bagaimanakah kami memperbaharui iman kami? Baginda s.a.w. bersabda; "Perbanyakkan mengucap kalimah La ilaha illallah" (HR Ahmad,Tabrani dan Al-Targhib)


Daripada Saidina Abu Bakar As Siddiq r.a. meriwayatkan bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda "Barang sesiapa menerima kalimah yang aku sampaikan kepada Pak Cik ku (Abu Talib ketika kematiannya namun ia menolaknya), nescaya kejayaan baginya". (HR Ahmad)

Daripada Jabir Bin Abdullah r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda " sebaik-baik zikir ialah La ilaha illallah dan sebaik-baik doa ialah Alhamdulillah". (HR Tarmizi)



Friday, March 23, 2012

Hadis Qudsi- What Goes Around Comes Around

Berfirman Allah Taala yang bermaksud

Wahai Anak Adam:
Janganlah kamu melaknat makhluk, kerana laknat tersebut akan kembali semula kepadamu.

Wahai Anak Adam:
Telah teguh langit tanpa ada sebatang pun tiang  di angkasa hanya dengan sekadar satu nama sahaja daripada nama nama Ku, tetapi hatimu tidak teguh walau dengan seribu pengajaran daripada kitabKu

Wahai manusia:
Sebagaimana batu tidak akan menjadi lembut didalam air, demikianlah peringatan tidak akan memberi kesan kepada hati yang keras

Wahai Anak Adam:
Bagaimana kamu mengaku bahawa kamu Hamba Allah, tetapi kemudiannya kamu menderhakai Nya?
Bagaimana kamu boleh meyakini bahawa kematian itu benar, sedangkan kamu mengingkarinya?
Kamu mengatakan dengan lidahmu perkara yang kamu tidak ada pengetahuan mengenainya, kerana pada sangkaan mu ia adalah remeh, tetapi di sisi Allah ia adalah besar.

(petikan Hadis Qudsi Kitab imam al Ghazali; al Mawa'iz Fil Ahadis al Qudsiah)


Friday, March 16, 2012

Cintaku pada Mu

Ya Allah
jika aku jatuh cinta
cintakan aku pada seseorang
yang melabuhkan cinta nya padaMu
Agar bertambah kekuatan ku untuk mencintai Mu

Ya Muhaimin
jika aku jatuh cinta,
jagalah cintaku padanya
agar tidak melebihi cinta ku padaMu

Ya Rahman 
jika aku jatuh hati
izinkan aku menyentuh hati
seseorang yang hatinya tertaut padaMu
agar aku tidak jatuh ke dalam jurang cinta selain Mu

Ya Rabbi
jika aku jatuh hati
jagalah hati ku padanya
agar tidak berpaling dariMu

Ya Rabbul Izzati
jika aku rindu
rindukan aku pada seseorang 
yang rindukan syahid di jalanMu

Ya Allah
jika aku rindu
jagalah rinduku padanya
agar aku tidak lalai merindukan syurga Mu