Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak maka untukku neraka.
(Riwayat: Bukhari dan Muslim).
Tilawah ertinya bacaan jadi, Sujud Tilawah bermaksud "sujud bacaan". Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat iaitu apabila dibaca ayat tersebut, kita disunatkan bersujud. Ayat ini disebut ayat sajdah, dan sujudnya disebut "Sujud Tilawah".
Sujud Tilawah disunatkan tidak hanya pada waktu solat tetapi juga di luar solat. Namun dalam solat berjamaah, sekiranya imam tidak melakukannya, maka makmum tidak perlu bersujud kerana makmum wajib selalu menyesuaikan gerakannya dengan imam, iaitu tidak boleh melakukan gerakan yang tidak dilakukan oleh imam.
Sujud Tilawah juga boleh ditangguhkan. Misalnya ketika sedang di jalanan tiba-tiba kedengaran seseorang membaca ayat sajdah. Maka tidak diharuskan sujud ketika itu juga kerana hanya untuk melakukannya, seseorang itu mestilah dalam keadaan suci dan berada di tempat yang suci, sama seperti mahu mengerjakan solat.
Ayat sajdah itu ialah di dalam surah-surah as-Sajdah:15, al-A'raaf: 206, ar-Ra'd: 15, an-Nahl: 49, al-Israa': 107, Maryam: 58, al-Haj: 18, al-Furqaan: 60, an-Naml: 25, Fussilat: 38, al-'Alaq:19, an-Najm: 62, Insyiqaaq: 21, Saad: 24.
Cara melakukan sujud sajdah diluar solat menurut mazhab Syafi'e, ialah dengan mengangkat tangan sambil bertakbir dan terus sujud, dan membaca ayat seperti yang tertera dibawah. Ketika didalam solat pula, cara melakukan sujud sajdah ialah sebaik sahaja membaca ayat sajdah, hendaklah terus bersujud, dan membaca bacaan seperti yang tertera dibawah (didalam sujud), setelah itu berdiri semula, dan meneruskan bacaan seterusnya.
Bacaan Sujud Tilawah:
سَجَدَ وَجْهِى لِلَّذِى خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ
"Wajahku bersujud kepada Penciptanya, yang membentuknya, yang membentuk pendengarannya dan penglihatannya, Maha Suci Allah, Sebaik-baik Pencipta."
"Wajahku bersujud kepada Penciptanya, yang membentuknya, yang membentuk pendengarannya dan penglihatannya, Maha Suci Allah, Sebaik-baik Pencipta."