Monday, December 31, 2012

Kitab Riyadhus Shalihin - Niat Dan Ikhlas Dalam Amalan



Allah S.W.T berfirman:
"Dan tidaklah mereka itu diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah, dengan tulus ikhlas menjalankan agama untuk-Nya semata-mata, berdiri lurus dan menegakkan solat serta mengeluarkan zakat, dan yang sedemikian itulah agama yang benar." (al-Bayyinah: 5)

Allah S.W.T berfirman:
"Daging dan darah binatang kurban itu tidak  sama sekali akan sampai kepada Allah, tetapi apa yang sampai   kepadaNya ialah amalan yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari engkau sekalian."  (al-Haj: 37)

Allah S.W.T berfirman:
"Katakanlah -wahai Muhammad ,sekalipun engkau semua sembunyikan apa-apa yang ada di dalam hatimu ataupun engkau sekalian tampakkan, pasti diketahui juga oleh Allah." (ali-lmran: 29)

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsah 'Umar ibn al-Khatab bin Nufail bin Abdul 'Uzza bin Riah bin Abdullah bin Qurth bin Razah bin 'Adi bin Ka'ab bin Luai bin Ghalib al-Qurasyi al-'Adawi رضي الله عنهما,  beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, akan diterima hijrahnya oleh Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana mencari kehidupan dunia, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu dikahwini nya, maka hijrahnya beroleh apa yang diniatkannya. (Muttafaq Alaih)

Dari Abu Hurairah, iaitu Abdur Rahman bin Shakhr r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah S.W.T itu tidak melihat kepada tubuhmu, tidak pula kepada rupa paras mu, tetapi Dia melihat kepada hati-hatimu sekalian." (Riwayat Muslim)

Dari Abu Bakrah, Nufai' bin Haris as-Tsaqafi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. bersabda: "Apabila dua orang Muslim bertikai dengan menggunakan pedangnya - dengan maksud ingin berbunuh-bunuhan - maka yang membunuh dan yang terbunuh itu semua masuk di dalam neraka." Saya bertanya: "Ini yang membunuh - patut masuk neraka -tetapi bagaimanakah halnya orang yang terbunuh - mengapa ia masuk neraka pula?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Kerana sesungguhnya orang yang terbunuh itu juga ingin sekali hendak membunuh kawannya." (Muttafaq 'alaih)

Daripada lbnu 'Abbas r.a. daripada Rasulullah SAW, Baginda meriwayatkan suatu riwayat dari Allah SWT. Allah berfirman: Sesungguhnya Allah telah menulis segala amal kebajikan dan amal kejahatan, kemudian Dia menjelaskan; maka barangsiapa yang terlintas mahu mengerjakan suatu kebajikan tetapi dia tidak melakukannya, Allah akan menulis kebajikan itu di sisiNya sebagai satu kebajikan sepenuhnya. Sekiranya dia terlintas mahu mengerjakan suatu kebajikan lalu dia melakukannya, Allah akan menulis kebajikan itu di sisiNya sepuluh kebajikan sehingga 700 kali ganda dan sehingga berlipat-ganda yang sangat banyak. Dan sekiranya dia terlintas mahu mengerjakan suatu kejahatan tetapi dia tidak melakukannya, Allah akan menulis di sisi-Nya sebagai satu kebajikan sepenuhnya. Sekiranya dia terlintas mahu mengerjakan suatu kejahatan dan dia melakukannya, Allah akan menulis kejahatan itu di sisi-Nya dengan satu kejahatan sahaja. (Muttafaq 'alaih)

(petikan shahih Riyadus Solihin Imam Nawawi)