Sunday, October 7, 2012

Hadis Qudsi- Berkata Tapi Tidak Amalkan

Wahai orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan apa yang kamu sendiri tidak amalkan?
Berapa banyak kamu mengatakan sesuatu sedangkan kamu tidak mengerjakannya?
Berapa banyak kamu menegah orang lain apa yang kamu sendiri melakukannya?
Berapa banyak kamu menyuruh orang lain mengamalkannya sedangkan kamu tidak mengamalkannya?
Berapa banyak kamu mengumpulkan apa-apa yang kamu tidak makan?
Berapa banyak taubat yang ditangguhkan, dari sehari ke sehari, kemudian dari setahun ke setahun, kemudian untuk apa kamu menunggu? 
Adakah kamu telah selamat daripada mati?
Adakah kamu telah terlepas daripada neraka dan adakah terjamin keselamatan dengan mendapatkan syurga?
Adakah antara kamu dan Tuhan terjamin rahmat?

Nikmat-nikmat telah menjadikan kamu tidak tentu arah, kebaikan telah merosakkan kamu, panjang angan-angan terhadap dunia telah menipumu, janganlah menuntut kesihatan dan kesejahteraan (sekiranya kamu akan tertipu lagi dengannya) 

Hari-hari bagi kehidupanmu itu telah ditentukan, dan nafas-nafas kamu dihitung, utamakan dirimu untuk barang yang kekal bagimu di akhirat 

Wahai Anak Adam, sesungguhnya kamu mara bersama amalan kamu. Setiap hari umurmu semakin berkurangan, semenjak engkau dilahirkan maka semakin hampirlah kamu kepada kubur, sehingga kamu masuk kedalamnya 

Wahai Anak Adam, perumpamaan kehidupanmu di dunia ialah ibarat seekor lalat, dimana setiap kali bertemu dengan madu ia akan lalai, seolah-olah ia akan kekal padanya. Demikianlah di dunia ini, jangan menjadi seperti kayu api yang membakar dirinya dengan api untuk orang lain.

(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam Al-Ghazali : al-Mawaiz Fil Ahadis al-Qudsiah)


Friday, October 5, 2012

HADIS QUDSI - BAIKNYA AGAMA, DAGING DAN DARAH

Berfirman Allah Taala yang bermaksud:

Wahai Anak Adam.
Jika baik agama mu, daging mu dan darah mu, maka akan baiklah amalan mu, daging mu dan darah mu. jika buruk agama mu, maka akan rosak amalan mu, daging mu dan darah mu.

Janganlah kamu menjadi seperti lilin yang membakar dirinya dan menerangi manusia lain. Buanglah rasa kecintaan terhadap dunia dari hatimu, kerana Aku tidak akan himpunkan selama-lamanya dua cinta, iaitu cinta dunia dan cinta terhadap Ku dalam satu hati.

Kurangkan ghairah mu pada mengumpulkan harta, kerana rezki mu telah pun diperuntukkan, Sangat bakhil itu haram, dan kikir itu tercela, kerana sesungguhnya nikmat itu tidak akan kekal. Sesungguhnya bermati-matian mengumpul harta itu celaka.

Ajal itu telah ditetapkan dan kebenarannya telah diketahui. 
Sebaik-baik hikmat Allah itu adalah khusyuk.
Sebaik-baik kekayaan itu adalah qanaah. 
Sebaik-baik bekalan itu adalah takwa.
Sebaik-baik yang diberikan kepada kamu adalah kesejahteraan (pada badan, iman dan amal).

(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam Al-Ghazali : al-Mawaiz Fil Ahadis al-Qudsiah)




Thursday, October 4, 2012

Peliharalah mata, telinga dan mulutmu

Manusia dikurniakan dengan nikmat mata, telinga dan mulut sebagai pancaindera utama. Bagaimanakah kita menjaga semua itu, adakah untuk perkara yang hak atau sebaliknya.

Allah berfirman di dalam Al-Quran di dalam surah al-A'raf, ayat 179: yang bermaksud
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai".

Di dalam sebuah hadis dari Abu Hurairah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu berbicara dengan ucapan yang buruk, janganlah kamu sindir-menyindir, janganlah kamu memperdengarkan cerita orang lain, dan janganlah sebahagian kamu menjual atas jualan sebahagian yang lain. Sementara itu, jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.
(HR Muslim)

Dari itu wahai saudaraku sekalian, peliharalah mata, telinga dan mulutmu


Wednesday, October 3, 2012

Sujud Sahwi



Sujud Sahwi adalah sujud didalam solat yang dilakukan kerana ada salah satu perbuatan solat yang tertinggal secara tidak sengaja. Dalil sujud sahwi (dua kali sujud): 

يُسَلِّمَ أَنْ قَبْلَ جَالِسٌ وَهُوَ سَجْدَةٍ كُلِّ فِي فَكَبَّرَ سَجْدَتَيْنِ سَجَدَ صَلَاتَهُ أَتَمَّ فَلَمَّا
Dari Abdullah bin Buhainah, "Setelah beliau menyempurnakan solatnya, beliau sujud dua kali. Ketika itu beliau bertakbir pada setiap kali sujud dalam posisi duduk. Beliau lakukan sujud sahwi ini sebelum salam." (HR. Bukhari no. 1224 dan Muslim no. 570)

وَرَفَعَ كَبَّرَ ثُمَّ وَسَجَدَ كَبَّرَ ثُمَّ فَرَفَعَ كَبَّرَ ثُمَّ سَجَدَ ثُمَّ كَبَّرَ ثُمَّ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ فَصَلَّى
Abu Hurairah meriwayatkan "Lalu beliau solat dua raka'at lagi (yang tertinggal), kemudia beliau memberi salam. Sesudah itu beliau bertakbir, lalu bersujud. Kemudian bertakbir lagi, lalu beliau bangkit. Kemudian bertakbir kembali, lalu beliau sujud kedua kalinya. Sesudah itu bertakbir, lalu beliau bangkit." (HR. Bukhari no. 1229 dan Muslim no. 573)

Sujud sahwi sesudah salam itu ditutup lagi dengan salam sebagaimana dijelaskan dalam hadits 'Imran bin Hushain: 
.سَلَّمَ ثُمَّ سَجْدَتَيْنِ سَجَدَ ثُمَّ سَلَّمَ ثُمَّ رَكْعَةً فَصَلَّى
"Kemudian beliau pun solat satu rak'aat (menambah raka'at yang kurang tadi). Lalu beliau memberi salam. Setelah itu beliau melakukan sujud sahwi dengan dua kali sujud. Kemudian beliau memberi salam lagi." (HR. Muslim no. 574)

Bacaan sujud sahwi:
سُبْحَانَ مَنْ لا يَنَامُ وَلا يَسْهُو 
“Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa.”



Tuesday, October 2, 2012

Sujud Syukur


Abu Bakar r.a. berkata bahawa Nabi Muhammad SAW biasanya apabila menerima berita yang mengembirakan, baginda terus bersujud kepada Allah. (HR Ahmad)

Sujud syukur, ialah sujud yang dilakukan karena menerima kenikmatan, atau mendengar berita menggembirakan. Cara melakukan sujud syukur ialah, dengan bersujud sekali sahaja, dan dilakukan di luar sembahyang. Bacaan sujud syukur:


سُبْحَانَكَ اَللَّهُمَّ اَنْتَ رَبِّي حَقَّا حَقَّا، سَجَدْتُ لَكَ يَارَبِّ تَعَبُّدًا وَرِقًّا. اَللَّهُمَّ اِنَّ عَمَلِي ضَعِيْفٌ فَضَاعِفْ لِي. اَللَّهُمَّ قِنِي عَذَابَكَ يَوْمَ تُبْعَثُ عِبَادُكَ وَتُبْ عَلَيَّ اِنَّكَ اَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمُ.

"Maha Suci Engkau Ya Allah, Engkaulah Tuhanku yang sebenarnya-benarnya, aku bersujud kepada Mu Ya Rabbi, sebagai tanda pengabdian dan penghambaan ku. Ya Allah, sungguh dhaif amalan ku, maka lipat gandakan pahalanya bagiku. Ya Allah, selamatkan aku dari siksaan Mu pada hari hamba-hamba-Mu dibangkitkan, terimalah taubat ku, sesunguhnya, Engkau Maha Menerima Taubat dan Maha Penyayang."


Sunday, September 30, 2012

SUJUD TILAWAH




Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Apabila anak Adam membaca ayat Sajdah, lalu dia sujud; maka syaitan jatuh sambil menangis. Katanya, Celaka aku! Anak Adam disuruh sujud, maka dia sujud, lalu mendapat syurga. Aku disuruh sujud, tetapi aku menolak maka untukku neraka.
(Riwayat: Bukhari dan Muslim).

Tilawah ertinya bacaan jadi, Sujud Tilawah bermaksud "sujud bacaan". Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat iaitu apabila dibaca ayat tersebut, kita disunatkan bersujud. Ayat ini disebut ayat sajdah, dan sujudnya disebut "Sujud Tilawah".

Sujud Tilawah disunatkan tidak hanya pada waktu solat tetapi juga di luar solat. Namun dalam solat berjamaah, sekiranya imam tidak melakukannya, maka makmum tidak perlu bersujud kerana makmum wajib selalu menyesuaikan gerakannya dengan imam, iaitu tidak boleh melakukan gerakan yang tidak dilakukan oleh imam.

Sujud Tilawah juga boleh ditangguhkan. Misalnya ketika sedang di jalanan tiba-tiba kedengaran seseorang membaca ayat sajdah. Maka tidak diharuskan sujud ketika itu juga kerana hanya untuk melakukannya, seseorang itu mestilah dalam keadaan suci dan berada di tempat yang suci, sama seperti mahu mengerjakan solat.

Ayat sajdah itu ialah di dalam surah-surah as-Sajdah:15, al-A'raaf: 206, ar-Ra'd: 15, an-Nahl: 49, al-Israa': 107, Maryam: 58, al-Haj: 18, al-Furqaan: 60, an-Naml: 25, Fussilat: 38, al-'Alaq:19, an-Najm: 62, Insyiqaaq: 21, Saad: 24.

Cara melakukan sujud sajdah diluar solat menurut mazhab Syafi'e, ialah dengan mengangkat tangan sambil bertakbir dan terus sujud, dan membaca ayat seperti yang tertera dibawah. Ketika didalam solat pula, cara melakukan sujud sajdah ialah sebaik sahaja membaca ayat sajdah, hendaklah terus bersujud, dan membaca bacaan seperti yang tertera dibawah (didalam sujud), setelah itu berdiri semula, dan meneruskan bacaan seterusnya.

Bacaan Sujud Tilawah:

سَجَدَ وَجْهِى لِلَّذِى خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

"Wajahku bersujud kepada Penciptanya, yang membentuknya, yang membentuk pendengarannya dan penglihatannya, Maha Suci Allah, Sebaik-baik Pencipta."



Wednesday, September 26, 2012

Al-Fatihah


Dari Abu Hurairah ra, Nabi S.A.W bersabda, “Barang siapa yang mengerjakan solat tanpa membaca Ummul Kitab, maka solatnya cacat, tidak sempurna". Abu Hurairah ditanya, “Bagaimana kalau kita menjadi makmum?” Dia menjawab, “Bacalah Ummul Kitab didalam hatimu saja kerana saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, Allah Azza wa Jalla berfirman, “Aku bahagikan separuh-separuh solat itu untuk Ku dan hambaKu, dan hambaKu berhak atas apa yang dia minta.”

Apabila hamba-Ku mengucapkan الْحَمْدُ للّهِ رَبِّ الْعَالَمِين (segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam), maka Allah SWT berfirman, “Hambaku telah memuji Ku”

Apabila hamba Ku mengucapkan الرَّحمـنِ الرَّحِيم (Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang), maka Allah SWT menjawab, “HambaKu telah menyanjung Ku”

Apabila hamba Ku mengucapkan مَـالِكِ يَوْمِ الدِّين (Yang menguasai hari pembalasan), maka Allah SWT menjawab, ‘Hambaku berserah diri kepadaKu”

Apabila hamba Ku mengucapkan إِيَّاك نَعْبُدُ وإِيَّاكَ نَسْتَعِين (Hanya kepadaMu kami mengabdi dan hanya kepadaMu kami memohon pertolongan), maka Allah SWT menjawab, “Ini antara Aku dan hambaKu, hamba-Ku berhak atas apa yang dia minta.”

Apabila hamba Ku mengucapkan اهدِنَــــا الصِّرَاطَ المُستَقِيمَ , صِرَاطَ الَّذِينَ أَنعَمتَ عَلَيهِمْ غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّين (Tunjukkan kami ke jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat keatas mereka, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai, dan bukan pula jalan orang-orang yang tersesat) maka Allah SWT menjawab, “Ini untuk hambaKu dan hambaKu berhak atas yang dia minta.”
(HR Muslim)