Friday, August 31, 2012

Wasiat Terhadap Wanita

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. dia berkata, "telah bersabda Rasullullah s.a.w.", Berwasiat-lah kamu kepada wanita dengan wasiat yang baik. Sesungguhnya wanita itu diciptakan dari tulang rusuk dan tulang rusuk yang paling bengkok adalah bahagian atasnya. Oleh kerana itu jika kamu meluruskannya dengan paksa maka ia akan patah, tetapi jika kamu biarkan ia akan tetap bengkok, maka berwasiat-lah kamu terhadap wanita dengan wasiat yang baik. (Muttafa' Alaihi)

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. ia berkata, "telah bersabda Rasulullah s.a.w." "Janganlah seorang mukmin (suami) membenci seorang mukminah (isteri), kerana apabila ada perangainya yang ia tidak sukai, maka ia akan menyukai perangainya yang lain". : Atau beliau bersabda: " Ada orang lain yang menyukainya." (H.R. Muslim)

Diriwayatkan dari Amr bin Al Ahwash Al Husyamy r.a. bahawa ia pernah mendengar Rasulullah s.a.w. berkhutbah pada haji wada', setelah baginda memuji Allah s.w.t., Baginda memberi peringatan dan nasihat, kemudian Baginda bersabda, "Ingatlah, berwasiat-lah kamu terhadap para wanita dengan wasiat yang baik. Kerana sesungguhnya mereka memerlukan perlindunganmu. Jangan kamu berlaku semena-mena terhadap  mereka, kecuali jika mereka terbukti membuat perlanggaran. Jika mereka membuat perlanggaran, maka janganlah kamu temani tidur mereka dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak melukai. Bila mereka telah mentaati kamu, maka janganlah kamu mencari jalan untuk menyakiti mereka. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu mempunyai hak ke atas isteri, demikian pula isterimu memiliki hak atas dirimu. Adapun hak hak kamu atas isteri isterimu; mereka tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam kamar peribadi mu, dan mereka tidak mengizinkan orang lain memasuki rumahmu tanpa izin darimu. sedangkan hak hak mereka atas kamu adalah agar kamu memberi pakaian dan makanan yang baik kepada mereka." (H.R Tarmizi )

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. ia berkata, "telah bersabda Rasulullah s.a.w." Orang Mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik budi pekertinya. Dan orang yang paling baik di antara kamu adalah orang yang paling baik pada isterinya." (H.R. Tarmizi)

Diriwayatkan dari Iyas Bin Abdullah Bin Abu Dzubab r.a. ia berkata, "Telah bersabda Rasulullah s.a.w. " Janganlah kamu memukul kaum wanita." Kemudian datanglah Umar r.a. mengadap Rasulullah s.a.w. lalu berkata, " Para isteri sekarang telah berani kepada para suaminya." Lalu Baginda memberikan keringanan kepada para suami untuk memukul isteri isterinya. Selanjutnya banyak para wanita mendatangani Rasulullah s..a.w. untuk mengadukan perlakuan suaminya, maka Baginda bersabda, " Sungguh telah banyak para wanita yang datang ke rumah Muhammad, untuk mengadukan perlakuan suami suami mereka, maka mereka ( para suami itu) bukanlah orang orang yang terbaik di antara kamu." (H.R. Abu Daud dengan isnad yang shahih)

 Diriwayatkan dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a. bahawasanya Rasulullah s.a..w. pernah bersabda; "Dunia adalah perhiasan, dan sebaik baik perhiasan dunia adalah wanita solehah" (HR Muslim)

(dipetik dari kitab SHAHIH RIYADHUS SHALIHIN karya Imam An Nawawi)




Wednesday, July 25, 2012

ANDAI INI YANG TERAKHIR

andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
tentu siangnya aku sibuk berzikir
tentu aku tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu..merayu...kepada-NYA Tuhan yang satu

andai ku tahu ini Ramadhan terakhir
tentu sholatku aku kerjakan di awal waktu
sholat yang dikerjakan...sungguh khusyuk lagi tawadhu'
tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri
menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]

andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan aku sia siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal aku dendang...bakal aku syairkan

andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
tentu malamku aku sibukkan dengan
bertarawih...berqiamullail...bertahajjud...
mengadu...merintih...meminta belas kasih
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"

andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
tentu diriku tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari...suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan

andai aku tahu ini Ramadhan terakhir
tentu aku bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ...lorong-lorong ridha Ar-Rahman

Duhai Ilahi....
andai ini Ramadhan terakhir buat diri ini
jadikanlah ia Ramadhan paling berarti...paling berseri...
menerangi kegelapan hati ini
menyeru ke jalan menuju ridho serta kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan aku di sana nanti
Namun teman/saudara...
tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha...bersedia...meminta belas-NYA

andai benar ini Ramadhan terakhir buat diriku......
MAAFKAN SEMUA KESALAHAN YANG PERNAH AKU LAKUKAN..........

Allahyarham Abdul Barr Mohammad Khalil
Fri Oct 6, 2006 11:55 am


Tuesday, June 26, 2012

Hadis Qudsi-Cabaran ALLAH

Berfirman Allah Taala yang bermaksud: 

Wahai Anak Adam;
Tuntutlah pada Aku sekadar mana kamu berhajat kepada Ku, derhakalah padaKu sekadar mana kemampuan mu untuk bersabar menanggung azab neraka.

Janganlah kamu memerhatikan kepada lambatnya ajal mu, rezeki mu sekarang, serta dosa mu yang tertutup, setiap sesuatu itu akan binasa kecuali wajahNya, Bagi Nya lah hukuman, dan kepadaNya lah kamu akan kembali.

Petikan Hadis qudsi: Kitab Imam al Ghazali; al Mawa'is Fil alHadis al Qudsiah



Friday, May 25, 2012

Hadis Qudsi- Ihsannya Allah

Berfirman Allah Taala yang bermaksud

Wahai Anak Adam,
Berapa banyak pelita, yang telah dipadamkan oleh hembusan angin
Berapa ramai ahli ibadah, yang telah dirosakkan oleh ujub
Berapa ramai orang kaya, telah dirosakkan oleh kekayaannya  
Ramai orang yang sihat telah dirosakkan oleh kesihatannya   
Ramai orang alim telah dirosakkan oleh ilmunya  
Ramai orang jahil, telah dirosakkan oleh kejahilannya.  

Kalaulah tidak kerana orang tua yang bongkok, pemuda yang khusyuk,
bayi yang menyusu, binatang yang sihat, 
nescaya akan Aku jadikan langit itu daripada besi,  
bumi itu kering dan tanahnya daripada abu  
Aku tidak akan turunkan hujan walau setitik
tidak Aku tumbuhkan daripada bumi walaupun sebutir benih, dan  
akan Aku tuangkan atasmu azab yang teramat pedih

Petikan Hadis qudsi: Kitab Imam al Ghazali; al Mawa'is Fil alHadis al Qudsiah



Wednesday, May 16, 2012

Hadis Qudsi - Siapa Fakir dan Miskin Di sisi Allah

Berfirman Allah Taala yang bermaksud

Wahai anak Adam, ingatlah akan nikmat-nikmat yang Aku anugerahkan kepadamu, Tunaikanlah janjimu pada Ku, nescaya akan Ku tunaikan janji-janji Ku kepadamu, dan kepadaKu kamu takut.

Sebagaimana kamu tidak mengetahui jalan melainkan dengan petunjuk, demikian jugalah, tiada jalan ke syurga melainkan dengan amal soleh, seperti mana kamu tidak akan memperolehi harta, melainkan dengan bersusah payah, demikianlah jugatidak akan masuk ke syurga melainkan mereka yang bersabar melakukan ibadah kepadaKu.

Hampirlah dirimu kepada Allah dengan melakukan amalan-amalan sunat, tuntutlah keredhaanKu, dengan keredhaan orang miskin terhadap kamu. Sukalah pada rahmat Ku dengan berada didalam majlis orang alim. Sesungguhnya, rahmat Ku tidak terpisah daripada mereka, walaupun sekelip mata

Firman Allah:
Wahai Musa, dengarlah perkara yang aku katakan, sebenar-benarnya siapa yang angkuh terhadap orang miskin, Aku akan bangkitkan-nya pada hari kiamat dalam keadaan rupanya seperti seekor semut yang kecil.  

Barangsiapa yang merendahkan diri kepada orang miskin, akan Kuangkat derajat-nya didunia dan akhirat.
Barangsiapa yang membuka aib orang miskin, Aku akan kumpulkan-nya pada hari kiamat, dengan keadaan tidak tertutup rahsia-nya. 
Barangsiapa yang menghina orang fakir, sesungguhnya dia telah mengisytiharkan perang denganKu  
Barang siapa yang beriman kepadaKu, nescaya para malaikat akan berjabat tangan-nya di dunia dan akhirat.

Petikan Hadis qudsi: Kitab Imam al Ghazali; al Mawa'is Fil alHadis al Qudsiah




Friday, April 13, 2012

Hadis Qudsi - ALLAH Al Wahhab Al Karim

Berfirman Allah Taala yang bermaksud :
Wahai manusia, sesungguhnya dunia itu ialah kampung, bagi sesiapa yang tiada kampung, harta bagi mereka yang tiada harta, dunia itu menghimpunkan orang yang tidak berakal. Orang yang bergembira dengan dunia itu ialah orang yang tidak faham mengenainya. Di dunia itu, akan bakhil orang yang tidak bertawakkal.

Orang yang memburu segala keinginan dunia ialah orang yang tidak benar benar mengenalinya. Maka barang siapa yang inginkan nikmat yang akan hilang, dan kehidupan yang sementara, maka sesungguhnya dia telah menzalimi dirinya sendiri serta menderhakai Tuhannya. Dia melupai akhirat dan dunia menipunya, dan dia mengingini zahir dan batin dari dunia ini. Sesungguhnya, mereka yang melakukan dosa akan menerima balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.

Wahai Anak Adam, bergembala denganKu, dan berniaga denganKu, beramal denganKu, dan pintalah kesempurnaan  daripadaKu, terhadap keuntungan-keuntungan terhadap dirimu, di sisiKu apa apa yang tidak dapat digambarkan oleh penglihatan mata, tidak dapat didengar oleh telinga dan tidak terlintas di dalam hati, tidak akan habis, dan tidak juga berkurangan khazanah Ku, sesungguhnya, Akulah Tuhan Yang Maha Pemberi (Al Wahhab) lagi Maha Mulia (Al Karim)

Petikan Hadis qudsi: Kitab Imam al Ghazali; al Mawa'is Fil alHadis al Qudsiah





Friday, April 6, 2012

Hadis Qudsi - Penawar bagi hati.

Berfirman Allah Taala yang bermaksud;

Wahai manusia: 
Sesungguhnya, telah datang kepadamu pengajaran daripada Tuhan kamu dan penawar bagi hati
Kenapakah kamu memilih untuk berbuat baik hanya kepada mereka yang berbuat baik kepada mu?
Kenapakah kamu memilih untuk berhubung hanya kepada mereka yang berhubung dengan mu?
Kenapakah kamu memilih untuk berbicara hanya kepada mereka yang berbicara dengan mu?
Kenapakah kamu memilih untuk memberi makan, hanya kepada mereka yang memberi makan kepadamu?
Kenapakah kamu memilih untuk memuliakan, hanya kepada mereka yang memuliakan mu?

Tidak terlebih baik seseorang itu daripada yang lain. 
Sesungguhnya orang yang beriman kepada Allah dan Rasul, mereka :
melakukan kebaikan kepada orang yang jahat kepada mereka,
berhubung dengan mereka yang memutuskan hubungan, 
memaafkan kepada mereka yang enggan memberi kemaafan kepadanya, 
beramanah kepada orang yang mengkhianatinya, 
berbicara dengan mereka yang enggan berbicara dengannya, 
memuliakan mereka yang menghinanya.
Sesungguhnya Allah mengetahui tentang perbuatan kamu.

(petikan Hadis Qudsi Kitab imam al Ghazali; al Mawa'iz Fil Ahadis al Qudsiah)