Sunday, October 7, 2012

Hadis Qudsi- Berkata Tapi Tidak Amalkan

Wahai orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan apa yang kamu sendiri tidak amalkan?
Berapa banyak kamu mengatakan sesuatu sedangkan kamu tidak mengerjakannya?
Berapa banyak kamu menegah orang lain apa yang kamu sendiri melakukannya?
Berapa banyak kamu menyuruh orang lain mengamalkannya sedangkan kamu tidak mengamalkannya?
Berapa banyak kamu mengumpulkan apa-apa yang kamu tidak makan?
Berapa banyak taubat yang ditangguhkan, dari sehari ke sehari, kemudian dari setahun ke setahun, kemudian untuk apa kamu menunggu? 
Adakah kamu telah selamat daripada mati?
Adakah kamu telah terlepas daripada neraka dan adakah terjamin keselamatan dengan mendapatkan syurga?
Adakah antara kamu dan Tuhan terjamin rahmat?

Nikmat-nikmat telah menjadikan kamu tidak tentu arah, kebaikan telah merosakkan kamu, panjang angan-angan terhadap dunia telah menipumu, janganlah menuntut kesihatan dan kesejahteraan (sekiranya kamu akan tertipu lagi dengannya) 

Hari-hari bagi kehidupanmu itu telah ditentukan, dan nafas-nafas kamu dihitung, utamakan dirimu untuk barang yang kekal bagimu di akhirat 

Wahai Anak Adam, sesungguhnya kamu mara bersama amalan kamu. Setiap hari umurmu semakin berkurangan, semenjak engkau dilahirkan maka semakin hampirlah kamu kepada kubur, sehingga kamu masuk kedalamnya 

Wahai Anak Adam, perumpamaan kehidupanmu di dunia ialah ibarat seekor lalat, dimana setiap kali bertemu dengan madu ia akan lalai, seolah-olah ia akan kekal padanya. Demikianlah di dunia ini, jangan menjadi seperti kayu api yang membakar dirinya dengan api untuk orang lain.

(Petikan Hadis Qudsi, Kitab Imam Al-Ghazali : al-Mawaiz Fil Ahadis al-Qudsiah)