Tuesday, June 28, 2011

Kalimah Syahadat - Bahagian 2

بسم الله الرحمن الرحيم                             
Bendang Rawa Di Waktu Dhuha

Dalam Bahagian satu kita telah berbincang mengenai kalimah syahadat yang pertama iaitu LAILAHA ILLALLAH dan dibahagian ini kita akan cuba membincangkan lafaz Syahadat yang kedua iaitu Kesaksian pada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pesuruh Allah. Amma ba'du.

 Bersaksi Bahawa Nabi Muhammad adalah Pesuruh Allah   محمد رسول الله”  
Lafaz kesaksian ini hendaklah dilakukan dengan beberapa syaratnya:-

Mentaati Nabi Muhammad s.a.w dalam setiap perkara yang beliau perintahkan.
Allah telah memerintahkan kita sebagai hambanya untuk mentaati Baginda s.a.w. dengan firmannya di dalam Al Quran  مَنْ يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ ۖ  , surah An-nisa 80 yang bermaksud  "Sesiapa yang mentaati rasul, sesungguhnya dia telah mentaati Allah". dan di dalam surah Ali Imran ayat 31 Allah berfirman قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ yang bermaksud "Jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintaimu". Masuknya seseorang kedalam syurga bergantung pada sejauh mana ketaatannya pada Rasulullah s.a.w , Baginda bersabda " Semua umatku akan masuk ke syurga kecuali mereka yang menolak". Para sahabat r.a. lalu bertanya: " Siapa yang menolak, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab " Siapa yang mentaati ku maka ia masuk syurga, dan siapa yang tidak mentaati ku, bererti beliau telah menolak" (H.R. Bukhari)
Siapa yang mencintai Nabi, maka ia harus mentaati Baginda, kerana ketaatan itu adalah lahir dari kecintaan, Siapa saja yang mengaku dirinya cinta kepada Nabi s.a.w. tetapi tidak mengikut sunnahnya dan mentaatinya maka bererti beliau telah berdusta dalam pengakuannya.

Mempercayai apa yang Baginda sampaikan.
Sesiapa yang mendustakan sesuatu yang shahih dari Nabi s.a.w. disebabkan oleh hawa nafsu atau keinginan terhadap sesuatu maka ia telah mendustakan Allah dan RasulNya kerana Nabi adalah orang yang terpelihara dari kesalahan dan bohong وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى  " Dia tidak berbicara dari hawa nafsunya" (An-Najm 3)

Menjauhi apa yang Baginda larang
Jauhilah dari dosa yang paling besar iaitu syirik kepada Allah, dosa-dosa besar, perbuatan maksiat, sampai ke dosa-dosa kecil dan sesuatu yang makruh. 

Tidak beribadah kepada Allah kecuali sesuai dengan apa yang Allah syariatkan melalui ucapan Nabi s.a.w.
Segala ibadah pada prinsipnya adalah dilarang  kecuali yang ada dasar perintahnya, maka tidak boleh beribadah kepada Allah kecuali dengan ajaran yang datang dari Rasulullah s.a.w. , Baginda bersabda " Siapa saja yang melaksanakan suatu amalan yang tidak ada dasar dari agama kita, maka amalan itu ditolak. (H.R. Muslim).

Sesungguhnya cinta kepada Rasulullah s.a.w. adalah wajib bahkan mencintai Allah dan Rasulnya mesti mengatasi kecintaan kita terhadap dua ibu bapa dan seluruh alam. Rasulullah SAW bersabda yang ertinya :
“Tidak beriman seseorang dari kamu, sehingga dia menjadikan Allah dan RasulNya paling dicintai dibandingkan selain daripadanya”
Orang yang mencintai Rasulullah adalah orang yang mengikuti dan menggunakan sunnah baginda, mengikuti perkataan dan perbuatan beliau, serta menjauhi larangan Baginda dan beradab kepada Baginda dikala senang ataupun susah. Tanda tanda kecintaan kita kepada Rasulullah antaranya:-
  • Perbanyakkan selawat kepada Baginda
  • rindu kepada Rasullullah
  • Selalu memuliakan Rasulullah
  • Membenci dan memusuhi apa yang yang Baginda benci dan musuhi
  • Mencintai orang yang dicintai Rasulullah
  • amalkan akhlak dan sunnah Rasulullah
Ya Allah. berikanlah selawat dan salam keatas Baginda s.a.w. keluarga, isteri-isteri, para sahabat dan orang-orang yang mengikuti Baginda dalam kebaikan sampai hari kiamat.

Wallah hu a'la waa'lam
Abu Iemran