Sunday, June 19, 2011

Pengertian Agama, Islam, Iman dan Ihsan


by Bendang Rawa on Friday, March 4, 2011 at 6:16am



Daripada Umar al-Khattab r.a, katanya: Sedang kami duduk-duduk bersama Rasulullah s.a.w, tiba-tiba muncul seorang lelaki, amat putih pakaiannya dan hitam rambutnya, tanpa kelihatan daripadanya kesan-kesan perjalanan (pengembaraan), dan tiada seorang pun daripada kami yang mengenalinya sehingga duduk mendekati Rasulullah, lalu dirapatkan lututnya kepada lutut baginda dan meletakkan kedua-dua tangannya ke atas paha Rasulullah seraya berkata: “Wahai Muhammad! Beritahu kepadaku  mengenai Islam.” Jawab baginda: “Islam itu engkau bersaksi tiada Tuhan selain Allah, dan bersaksi bahawa Muhammad itu utusan (pesuruh) Allah (kepada seluruh manusia), dan  mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengunjungi Baitullah untuk mengerjakan haji sekiranya berkuasa melakukannya.” Jawab lelaki tersebut: “Benar katamu itu.” 

Kata Umar r.a: Kami hairan akan lelaki itu, dia yang bertanya, lalu dia pula yang membenarkan jawapan baginda. Tambah lelaki itu, “Beritahuku, apakah Iman itu?” Sabda baginda, “Iman itu ialah kamu percaya dan beriman kepada Allah, kepada Malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-Nya, hari akhirat, qadar baik dan jahat itu daripada Allah.”

Dia bertanya tentang Ihsan pula, maka sabda Nabi: “Ihsan itu ialah kamu beribadat (menyembah Allah) seolah-olah kamu melihat-Nya sekiranya kamu tidak dapat melihat-Nya, maka (yakinlah) Allah tetap melihatmu.” Orang itu bertanya mengenai kiamat pula, maka sabda baginda: “Orang yang ditanya tidak lebih tahu dari orang yang bertanya.”  Orang itu mengalih pertanyaannya kepada tanda-tanda kiamat. Sabda Rasulullah s.a.w: “Tandanya ialah perempuan melahirkan tuannya sendiri (anak yang sanggup memperhambakan ibunya), kamu akan melihat orang-orang desa yang berkaki ayam, koyak rabak pakaiannya, dan pengembala kambing berlumba-lumba mendirikan bangunan.” 

Kata Umar: Kemudian lelaki itu pun berlalu. Setelah aku berdiam sebentar. Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: “Hai Umar! Tahukah kamu siapa lelaki yang bertanya tadi?” Jawabku, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda: “Itulah Jibril, dia datang mengajar agama kamu.” (Riwayat Muslim)


Kesimpulan

Agama terbentuk daripada tiga unsur, iaitu Iman, Islam dan Ihsan. Rukun Iman enam perkara, manakala Rukun Islam lima perkara. Kiamat itu pasti tiba. Tanda-tandanya sudah terang dan nyata.